Sudah lebih empat tahun berlalu sejak Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melancarkan usaha untuk mengambil alih FGV Holdings Bhd secara penuh.
Namun, status penyenaraian FGV masih belum mencapai titik penyelesaian muktamad.
Ketidaktentuan ini bukan sahaja menjejaskan sentimen pasaran, malah terus membelenggu nilai pegangan pelabur minoriti.

Dalam perkembangan terbaharu, Felda dilaporkan sedang menilai rancangan baharu untuk menswastakan FGV. Namun, apa jua pelan yang sedang dirangka, satu perkara tidak boleh dielakkan — harga tawaran perlu dinaikkan.
Harga Tawaran Tidak Selari Dengan Nilai Sebenar
Tawaran terdahulu Felda pada tahun 2021 sebanyak RM1.30 sesaham gagal mencapai ambang kawalan 95% yang diperlukan bagi pengambilalihan mandatori.
Setakat ini, Felda hanya berjaya menguasai 81% saham, jauh daripada sasaran untuk penyahsenaraian. Sementara itu, nilai aset bersih (NAB) FGV adalah sekitar RM1.67 sesaham.
Jelas, jurang antara nilai sebenar dan harga tawaran terlalu besar. Tidak hairanlah jika pemegang saham minoriti memilih untuk tidak melepaskan pegangan mereka.
Maka, sebarang rancangan pengambilalihan akan terus berdepan kebuntuan selagi harga tawaran tidak diselaraskan secara munasabah.
Isu Tebaran Pegangan Saham
Selepas pengambilalihan separa, tebaran pegangan awam FGV telah merosot di bawah paras minimum 25% yang disyaratkan Bursa Malaysia.
Felda kini berada dalam kedudukan dominan, namun tidak mencapai tahap yang membolehkan mereka memaksa penyahsenaraian secara automatik — yang hanya dibenarkan jika pegangan awam jatuh di bawah 10%.
Bursa Malaysia dilaporkan tidak lagi memberikan lanjutan masa kepada FGV untuk menyelesaikan isu ini. Maka, tanggungjawab kini terletak pada Lembaga Pengarah FGV untuk bertindak, sama ada melalui penawaran saham baharu kepada awam atau tindakan korporat lain yang bersesuaian.
Pilihan Strategik Felda
Pada ketika ini, Felda mempunyai dua pilihan strategik utama:
Naikkan harga tawaran pembelian saham kepada tahap lebih kompetitif — sekurang-kurangnya menghampiri NAB — untuk mendapatkan sokongan majoriti pemegang saham minoriti dan mencapai ambang 95%.
Teruskan status penyenaraian FGV, dan bekerjasama dengan Lembaga Pengarah untuk menyusun semula pegangan saham awam agar mematuhi keperluan penyenaraian Bursa.
Setiap pilihan datang dengan kos dan implikasi tersendiri. Namun, jika Felda terus berkeras dengan tawaran pada harga rendah, bukan sahaja proses pengambilalihan akan gagal, malah reputasi pasaran korporat negara juga boleh terjejas.
Implikasi Kepada Pasaran
Penswastaan FGV akan mengurangkan bilangan syarikat perladangan besar di Bursa Malaysia, sekaligus menyempitkan pilihan pelabur institusi dan runcit.
Lebih membimbangkan, trend pengambilalihan separa dengan tawaran rendah berisiko mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan pelabur asing terhadap ketelusan dan perlindungan pelabur minoriti di Malaysia.
Situasi FGV ini merupakan lakmus ujian kepada ekosistem tadbir urus korporat negara — sejauh mana pasaran kita menghormati nilai sebenar, dan melindungi hak semua pemegang saham, tanpa mengira saiz pemilikan.

"Show Me The Money!"
Felda mungkin boleh mengemukakan pelbagai strategi pengambilalihan, merancang penstrukturan semula korporat, malah berbicara tentang sinergi jangka panjang — tetapi satu perkara tidak boleh diputar belit: harga tetap segala-galanya.
Jika benar ingin menguasai FGV sepenuhnya, bukan retorik yang ditagih, tetapi angka — dan angka yang masuk akal! Janganlah selamba tawarkan lagi paras RM1.30 sesaham.
Pasaran modal tidak menari mengikut gendang slogan. Pelabur tidak mudah digula-gulakan dengan tawaran bawah harga sebenar sambil diugut dengan penyahsenaraian. Permainan itu sudah basi, dan pelabur hari ini jauh lebih celik dan berhati-hati.
Selagi Felda enggan buka dompet, selagi itulah FGV kekal dalam keadaan `tergantung' — dan pelabur minoriti hanya ada satu respons: "Show me the money!" - DagangNews.com








