Struktur yuran baharu Suruhanjaya Sekuriti dijangka berkuat kuasa 1 Januari 2026 - MOF | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Struktur yuran baharu Suruhanjaya Sekuriti dijangka berkuat kuasa 1 Januari 2026 - MOF

Gambar ihsan NST

KUALA LUMPUR 13 Nov - Struktur yuran baharu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kini sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara dan dijangka berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, kementerian memaklumkan bahawa SC telah mengadakan lebih 100 sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk bank, broker dan pengurus dana sebelum memuktamadkan struktur yuran baharu tersebut.

 

MOF menjelaskan SC hanya mengenakan yuran kepada pihak yang menerima manfaat langsung daripada usaha pengawalseliaan dan pembangunan SC, iaitu institusi serta peserta pasaran, kebanyakannya entiti yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

 

“Prinsip di sebalik semakan struktur yuran SC ini berasaskan keseimbangan dan keadilan, dengan mengambil kira saiz, kerumitan serta tahap aktiviti setiap institusi dan peserta pasaran modal.

 

“Selain itu, SC turut menghubungi entiti terlibat bagi mendapatkan anggaran yuran masing-masing yang dikira berdasarkan formula yuran SC,” jelas kementerian itu.

 

MOF berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH–Bagan) mengenai yuran tahunan yang dikenakan oleh SC ke atas syarikat tersenarai serta struktur yuran tahunan baharu yang akan dikuatkuasakan.

 

Sementara itu, menjawab soalan berasingan daripada Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN–Rompin) berhubung status pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CKM) dan Cukai Barangan Bernilai Tinggi (CBBT), MOF memaklumkan bahawa kutipan CKM bagi tahun taksiran 2024 berjumlah RM162 juta.

 

Kementerian turut memaklumkan, pelaksanaan CBBT telah disemak dan diselaraskan dengan penambahbaikan dasar cukai sedia ada melalui peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025. - BERNAMA