KUALA LUMPUR 30 April – Axis REIT meletakkan sasaran jangka panjang untuk menggandakan aset bawah pengurusan (AUM) kepada RM10 bilion menjelang 2030, berbanding sekitar RM5.4 bilion ketika ini, disokong strategi pengembangan agresif melalui pengambilalihan aset industri serta pengukuhan portfolio sedia ada.
Sasaran ini menjadi teras utama pertumbuhan kumpulan,dengan CGS International melihat Axis REIT sebagai REIT berasaskan model “acquisition-driven”, memandangkan ruang pertumbuhan organik adalah terhad berbanding pertumbuhan melalui pembelian aset baharu.
Firma penyelidikan itu berkata dalam jangka masa panjang, strategi ini dijangka terus menyokong peningkatan pendapatan berulang serta pengagihan dividen, walaupun pertumbuhan asas kekal sederhana.
Dari sudut prestasi kewangan, Axis REIT mencatat keuntungan bersih teras RM50.4 juta pada 1QFY26, selaras jangkaan pasaran dan mewakili sekitar 23% hingga 24% daripada unjuran setahun penuh.
Namun, pertumbuhan masih kekal perlahan dengan keuntungan suku tersebut mencatat penurunan 2% suku ke suku dan 1% tahun ke tahun, mencerminkan fasa pertumbuhan stabil tetapi tidak agresif.
Secara keseluruhan, unjuran menunjukkan pertumbuhan keuntungan bersih hanya sekitar 1% hingga 2% setahun bagi tempoh FY26 hingga FY28, menandakan trajektori pendapatan yang defensif.
Dari segi pulangan kepada pelabur, CGSI berkata REIT ini mengekalkan ciri hasil dividen tinggi dengan jangkaan dividend yield sekitar 5.2% hingga 5.4% bagi FY26 hingga FY28, disokong payout ratio hampir 99%.
ARTIKEL BERKAITAN: Axis-REIT catat pendapatan bersih RM53.2 juta pada 1QFY2026, disokong portfolio sektor industri
CGSI berkata ini menunjukkan hampir keseluruhan pendapatan diagihkan kepada pemegang unit, sekali gus mengehadkan keupayaan syarikat untuk menjana pertumbuhan dalaman secara besar-besaran.
“Dari sudut struktur kewangan, gearing kekal rendah dan terkawal pada 0.34x, dengan unjuran meningkat sedikit kepada 0.36x selepas pelaksanaan pengambilalihan aset baharu, menunjukkan ruang leverage masih mencukupi.
“Dari segi kecekapan modal, pulangan atas ekuiti (ROE) kekal pada paras sederhana sekitar 6.2% hingga 6.4%, mencerminkan sifat REIT yang lebih defensif berbanding pertumbuhan tinggi,” katanya.
Kadar penghunian portfolio kekal stabil pada 94%, disokong permintaan berterusan terhadap aset industri dan logistik di Malaysia.
Antara pemacu operasi ialah penyewaan penuh Gudang Logistik Seberang Perai 2, manakala Bukit Raja Distribution Centre dijangka meningkat kepada 58% penghunian pada 2QFY26 berbanding 16% sebelumnya.
Axis REIT turut melaksanakan inisiatif naik taraf aset di Northport bagi meningkatkan daya saing serta kadar penyewaan, selain merancang pengembangan Gudang Logistik Pasir Gudang 2 bernilai RM21 juta yang akan menambah kira-kira 28% kapasiti ruang boleh disewa.
Dari sudut pendapatan sewa, CGS International menjangkakan kadar kenaikan sewa kekal kukuh melebihi 5% pada FY26, dengan potensi peningkatan lebih tinggi sehingga 30% bagi aset tertentu yang disewakan semula.
Secara keseluruhan, CGS International mengekalkan saranan “Tambah” terhadap Axis REIT dengan harga sasaran RM2.15 berbanding harga semasa RM1.98, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 8.6%, disokong kombinasi pertumbuhan stabil, hasil dividen sekitar 5%+, struktur kewangan konservatif serta strategi pengembangan AUM ke RM10 bilion menjelang 2030. - DagangNews.com








