KUALA LUMPUR 12 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia akan menonjolkan strategi semikonduktor negara pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dalam industri berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan akan mempromosikan insentif berdaya saing serta kedudukan strategik Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.
“Sempena Sidang Kemuncak ASEAN, kita juga akan mempromosikan strategi semikonduktor dan insentif kompetitif kepada firma asing,” katanya ketika merasmikan peluasan fasiliti X-FAB Sarawak di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya dekat Kuching Sarawak.
Anwar berkata, Malaysia, khususnya Sarawak, berada pada kedudukan terbaik untuk memperincikan kekuatan sedia ada, dengan negeri itu bakal menjadi tumpuan utama pada sidang kemuncak berkenaan.
Beliau berkata Sarawak akan diketengahkan secara menonjol dalam penglibatan antarabangsa Malaysia, khususnya sepanjang sesi ekonomi yang diadakan bersempena sidang kemuncak utama seperti ASEAN, bagi mempamerkan peluang pelaburan serta kesiapsiagaan negeri itu menyokong rantaian bekalan semikonduktor global.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengesahkan kehadiran Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pada sidang kemuncak itu.
Sebelum ini, beliau turut mendedahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Perdana Menteri China Li Qiang juga akan hadir.
Sementara itu dalam ucapannya, Anwar menggesa pemain industri semikonduktor untuk menjalin kerjasama secara pro bono dengan universiti di seluruh negara, dalam usaha membangunkan kepakaran tempatan dan modal insan dalam sektor berteknologi tinggi.
Perdana Menteri menekankan keperluan usaha bersama antara kerajaan, komuniti akademik dan industri bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat terhadap tenaga mahir dalam bidang semikonduktor.
“Cabaran ini nyata… Walaupun kita sering membincangkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penghasilan tenaga mahir, secara jujur, kita memang melahirkan jurutera, tetapi itu sahaja tidak memadai sekiranya tiada sinergi antara universiti dan industri.
“Saya ingin meminta pihak industri meluangkan masa untuk mengunjungi universiti, meneliti kurikulum dan disiplin, serta memberikan cadangan segera tentang kekurangan dan perkara yang perlu diperkenalkan.
“Jika berkesudian, hantarlah tenaga pakar untuk memberikan latihan asas, pendedahan dan kuliah..secara pro bono,” katanya.
Anwar berkata kerajaan Persekutuan komited sepenuhnya untuk memacu aspirasi negara dalam bidang semikonduktor menerusi Strategi Semikonduktor Negara (NSS), yang turut mengiktiraf potensi besar Sarawak untuk muncul sebagai pemain global dalam bidang berkenaan. - BERNAMA








