KUALA LUMPUR 11 Sept – Kementerian Pertahanan menggariskan hala tuju strategik baharu pertahanan negara bagi memperkukuh daya tahan negara, merangkumi ancaman keselamatan moden, daripada pandemik dan bencana berkaitan iklim sehinggalah serangan siber dan ekstremisme.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, strategi tersebut adalah berasaskan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan.
“Kajian separuh penggal ini menekankan peranan kritikal Angkatan Tentera dalam mempertahankan keselamatan negara melepasi peperangan tradisional.
“Ia bukan sekadar dokumen dasar, tetapi satu komitmen untuk melindungi kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran kajian separuh penggal berkenaan, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pada tahun 2023 sahaja, lebih 26 juta serangan siber direkodkan, sekali gus menzahirkan keperluan mendesak untuk memperkukuh kapasiti pertahanan siber negara.
“Pada masa sama, ekstremisme dan keganasan rentas ideologi berasaskan agama, bangsa, etnik malah gerakan sayap kanan kekal menjadi kebimbangan utama,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan, platform digital seperti Twitch dan Discord, selain teknologi kecerdasan buatan, semakin banyak disalahgunakan untuk menyebarkan propaganda.
“Ancaman yang kian berkembang ini menuntut pemantauan berterusan bukan sahaja oleh pihak berkuasa tetapi juga oleh masyarakat keseluruhannya,” katanya lagi.
Mohamed Khaled menjelaskan kajian separuh penggal tersebut turut menggariskan beberapa hala tuju strategik baharu kementerian.
“Pertama ialah mereformasi dan mentransformasikan Angkatan Tentera, yang akan dibangunkan menjadi Angkatan Pelbagai Domain Bersepadu Berteraskan Rangkaian Menyeluruh menjelang 2030, berkeupayaan melaksanakan operasi pelbagai bentuk daripada diplomasi dan pengawasan hinggalah pencegahan serta penindasan ancaman.
“Keupayaan baharu akan meliputi bidang angkasa dan siber, kecerdasan buatan, sistem tanpa pemandu dan sensor pintar.
“Perolehan yang dirancang termasuk Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS), sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD) serta artileri pertahanan udara, bagi menangani ancaman peluru berpandu jarak jauh dan penggunaan dron yang semakin meluas,” katanya.

Tambahnya lagi, teras kedua menekankan pendekatan Seluruh-Kerajaan dan Seluruh-Masyarakat (WOGOS).
“Ia menekankan kepentingan kedua-dua angkatan tetap dan pasukan simpanan.
“Kini, angkatan tentera terdiri daripada 121,000 anggota tetap dan 34,000 anggota simpanan, dengan sasaran mencapai nisbah 1:1.
“Program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), dan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) akan diperluas.
“Kami juga menyasarkan penyertaan wanita dalam tentera ditingkatkan kepada 15%, selaras dengan agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Golongan veteran turut akan diperkasa, termasuk pertimbangan untuk diserap terus ke dalam pasukan simpanan,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan, Malaysia akan terus mengekalkan dasar berkecuali, sambil memperkukuh diplomasi pertahanan melalui ASEAN dan Five Power Defence Arrangements (FPDA).
“Kerjasama strategik dengan negara-negara Barat dan pihak berkepentingan Indo-Pasifik juga akan dipertingkatkan menerusi latihan bersama, pertukaran, pembangunan keupayaan dan kolaborasi teknologi pertahanan,” tambah beliau.
Teras keempat pula melibatkan peranan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta penubuhan Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP).
“Menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang akan diperkenalkan, Malaysia berhasrat membina rantaian bekalan industri pertahanan yang berdaya tahan, mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar, serta memacu inovasi domestik dalam bidang robotik, sistem autonomi, peperangan elektromagnetik dan aeroangkasa,” katanya.
Beliau berkata teras terakhir melibatkan penyediaan Pelan Strategik Kementerian 2026-2030, yang diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-13.
“Malaysia menyasarkan untuk memperuntukkan 1.5% daripada KDNK kepada perbelanjaan pertahanan menjelang tahun 2030,” katanya. - DagangNews.com








