KUALA LUMPUR 1 April – Steel Hawk Berhad melantik Tan Sri Mohd Annuar Zaini sebagai Pengerusi baharu syarikat berkuat kuasa 1 April 2026.
Beliau menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang meletak jawatan kerana mempunyai komitmen lain.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Steel Hawk berkata beliau dilantik sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif, bertanggungjawab memimpin lembaga pengarah tanpa terlibat dalam operasi harian syarikat.
Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi dan sarjana dalam undang-undang dan diplomasi.
“Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Pentadbiran dan Diplomatik pada 1977 sebelum bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan pada 1999.
“Sepanjang kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Pengerusi BERNAMA, dan ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat seperti Malaysian Airline System, PLUS Expressway, Tropicana Corporation dan Manulife Holdings,” katanya.
Kini, beliau memegang jawatan sebagai pengerusi di beberapa syarikat termasuk UDA Holdings Berhad, BBCC Development Sdn Bhd, 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Ekowood International Berhad, selain berkhidmat sebagai Pro-Canselor Universiti Malaya dan Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. - DagangNews.com








