KUALA LUMPUR 28 Mei - Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Royal Brunei Airlines (RB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi memperkukuh hubungan serantau dan meningkatkan kehadiran pelancongan antarabangsa Sarawak.
MoU itu dimeterai sempena ITB China 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh akses perjalanan ke Sarawak serta menyokong kedudukan negeri itu sebagai Gerbang ke Borneo.
Kerjasama berkenaan turut dilihat penting dalam meningkatkan keterlihatan destinasi, memperluas hubungan penerbangan dan merangsang pertumbuhan sektor pelancongan merentasi pasaran antarabangsa.
MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Datu Salleh Askor dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim RB, Colonel Norsuriati Haji Sharbini.
Dr Sharzede berkata, hubungan penerbangan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta memperkukuh kedudukan destinasi dalam landskap pelancongan global yang semakin kompetitif.
“Kerjasama strategik seperti ini penting dalam meningkatkan akses, memperkukuh keterlihatan destinasi dan membuka lebih banyak peluang perjalanan ke Sarawak serta rantau Borneo.
“Sebagai Gerbang ke Borneo, hubungan penerbangan kekal menjadi elemen penting dalam menyokong pertumbuhan pelancongan dan usaha capaian antarabangsa kami,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kerjasama itu hadir pada masa strategik ketika STB terus memperkukuh penglibatan pelancongan di China dan Asia Utara menerusi pelbagai inisiatif pemasaran destinasi, kerjasama perdagangan dan program penglibatan pengguna.
Melalui kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan mempergiat usaha promosi pelancongan selain meningkatkan akses perjalanan yang lebih lancar ke Sarawak.
Sementara itu, Norsuriati berkata, China kekal sebagai pasaran penting bagi RB dan rantau Borneo secara keseluruhan.
“Kami berbesar hati dapat memperkukuh kerjasama dengan STB dan rakan strategik di China ketika kami terus membina hubungan jangka panjang berasaskan pertumbuhan dan hubungan serantau,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, STB turut melancarkan Program Jerayawara Kampus dan Penglibatan Pelajar pertamanya bersama Qunar di Zhejiang International Studies University.
Program itu bertujuan memperkenalkan Sarawak kepada pelajar universiti dan pengembara muda menerusi pameran pelancongan interaktif yang mengetengahkan budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival di negeri berkenaan. - DagangNews.com








