KUALA LUMPUR 14 Ogos – Kementerian Kewangan (MOF) berpendapat kutipan hasil cukai penggunaan melalui cukai jualan dan perkhidmatan (SST) wajar diteruskan serta boleh dipertingkatkan, memandangkan ia merupakan cukai sedia ada yang sudah difahami oleh industri, peniaga dan orang awam.
MOF berkata SST masih boleh diperkasakan bagi menjana hasil tambahan serta memberi impak fiskal lebih cepat kepada kerajaan memandangkan ia telah digunakan selama lebih 40 tahun.
“Ini berbeza dengan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang memerlukan tempoh persediaan lebih lama sehingga dua tahun bagi membolehkan syarikat membuat persediaan dan mengemas kini sistem mereka untuk pelaksanaan GST,” katanya.
MOF menyatakan demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Rabu, sebagai respons kepada soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN–Bera) yang bertanya mengenai kelebihan sistem SST berbanding GST.
Kementerian itu berkata dengan peluasan skop, SST dijangka menjana tambahan hasil kira-kira RM10 bilion setahun bermula 2026.
MOF berkata kedua-dua sistem percukaian GST dan SST mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.
“Di bawah GST, cukai penggunaan dikenakan di pelbagai peringkat tetapi disertakan dengan mekanisme kredit cukai input.
“Sementara itu, di bawah SST, cukai penggunaan dikenakan hanya pada satu peringkat tanpa mekanisme kredit cukai input.
"Namun, di bawah SST, pengecualian tertentu diberikan sekali gus membolehkan sistem SST dilaksanakan secara lebih bersasar,” katanya. - DagangNews.com








