SpaceX peroleh lesen spektrum AWS-4 milik EchoStar: Implikasi terhadap syarikat telekomunikasi ASEAN - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SpaceX peroleh lesen spektrum AWS-4 milik EchoStar: Implikasi terhadap syarikat telekomunikasi ASEAN - Maybank IB

Gambar hiasan - PC Mag
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Sept - SpaceX mempercepatkan langkahnya dalam teknologi sambungan satelit-ke-telefon pintar dengan pengambilalihan lesen spektrum AWS-4 dan H-block milik EchoStar bernilai AS$17 bilion (kira-kira RM71.6 juta), satu langkah yang menurut penganalisis berpotensi mengubah liputan mudah alih luar bandar di seluruh Asia Tenggara dan pasaran global lain.

 

Perjanjian ini memberi SpaceX hak eksklusif ke atas spektrum berlesen, yang menjadi kunci kepada pembangunan teknologi Direct-to-Cell (D2C).

 

"Tidak seperti perkhidmatan satelit Starlink sedia ada yang memerlukan terminal pengguna, D2C menyasarkan untuk menyambungkan telefon pintar 4G dan 5G terus kepada satelit orbit rendah (LEO) Starlink tanpa sebarang perkakasan khas tambahan.

 

“Ini mengurangkan halangan penggunaan dan membuka pasaran yang sangat besar, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang liputan,” tulis Maybank Investment Bank dalam nota analisis kepada pelanggan.

 

Pelengkap, Bukan Pengganti

Walaupun potensinya dilihat mengganggu landskap semasa, pakar industri melihat D2C sebagai pelengkap, bukan pengganti kepada rangkaian mudah alih darat.

 

Infrastruktur mudah alih tradisional kekal penting untuk kapasiti data yang tinggi, liputan dalam bangunan, serta sambungan di kawasan berpenduduk padat dan sistem pengangkutan bawah tanah.

 

“Dengan spektrum dikawal ketat serta dilesenkan di peringkat negara, kerjasama dengan pengendali tempatan dilihat sebagai laluan global yang paling berdaya maju,” menurut laporan Maybank itu.

 

Implikasi di ASEAN: Peluang untuk Pemain Lebih Kecil

Dalam konteks ASEAN, impak D2C dijangka berbeza mengikut pasaran. Negara kepulauan seperti Indonesia dan Filipina berpotensi mendapat manfaat paling besar memandangkan liputan rangkaian yang tidak sekata.

 

Di Indonesia, liputan 4G kini meliputi kira-kira 97% populasi, namun banyak pulau luar masih kekurangan perkhidmatan. Begitu juga di Filipina, jurang sambungan kekal wujud di luar kawasan bandar utama.

 

Di kedua-dua negara ini, pengendali telekomunikasi lebih kecil berpeluang memanfaatkan D2C untuk memperluas liputan serta mencabar kedudukan syarikat besar dengan tawaran lebih kompetitif.

 

Sebaliknya, pasaran seperti Singapura, Malaysia dan Thailand yang menikmati liputan 4G hampir menyeluruh serta geografi yang lebih baik mungkin hanya melihat nilai tambahan terhad daripada penyelesaian sambungan berasaskan satelit.

 

Pengajaran dari Australia: Optus Bidik Ruang Langit

Teknologi ini juga berpotensi mengubah dinamik persaingan di rantau lain. Di Australia, Optus sudah lama ketinggalan berbanding Telstra dalam pasaran luar bandar dan pedalaman, kelemahan yang tercermin dalam harga perkhidmatan yang lazimnya 15–20% lebih rendah daripada kadar premium Telstra.

 

“Apabila teknologi D2C berkembang, Optus boleh memanfaatkannya sebagai lapisan pelengkap kepada jejak kukuh di kawasan bandar dan pinggir bandar, sekali gus memperluas liputan di kawasan luar bandar yang mencabar dari segi ekonomi rangkaian,” jelas laporan tersebut.

 

Dengan menutup jurang liputan ini, D2C berpotensi membantu Optus merapatkan persepsi jurang perkhidmatan berbanding Telstra — satu pelan tindakan yang boleh menjadi rujukan kepada penyedia telekomunikasi kecil di ASEAN yang ingin memperkukuh kedudukan pasaran mereka. - DagangNews.com