KUALA LUMPUR 1 April – Southern Score Builders Bhd melalui anak syarikatnya, SJEE Engineering Sdn Bhd yang dimiliki sebanyak 51%, memperoleh dua kontrak berkaitan sistem elektrik bagi projek pusat data dengan nilai keseluruhan RM189 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut terdiri daripada satu projek baharu serta tambahan kerja bagi projek sedia ada yang sebelum ini telah dianugerahkan kepada SJEE.
“Bagi projek pertama, SJEE dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem elektrik bagi sebuah pusat data dengan nilai kontrak sebanyak RM150 juta.
“Selain itu, SJEE turut menerima kerja tambahan bagi projek kedua yang sebelum ini dianugerahkan pada 15 Oktober 2024, melibatkan skop kerja yang sama untuk sistem elektrik pusat data.
“Nilai tambahan bagi projek kedua itu adalah sebanyak RM39 juta, menjadikan jumlah keseluruhan kontrak bagi projek berkenaan meningkat kepada RM115.04 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Menurut syarikat, projek pertama telah bermula pada 2 Mac 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 November 2026.
Projek kedua yang bermula pada 9 Ogos 2024 pula dijangka siap pada 30 Oktober 2026.
Southern Score Builders menjelaskan penerimaan kedua-dua kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap struktur modal saham atau pegangan saham syarikat.
Namun begitu, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 dan seterusnya sehingga projek siap.
Dalam pada itu, syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa dalam pelaksanaan projek, dan menegaskan tiada pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai kepentingan dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com








