KUALA LUMPUR 4 Feb – Pengeluar kabel dan wayar, Southern Cable Group Berhad dijangka mencatat prestasi kewangan yang kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25) dipacu oleh pelaksanaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang meningkat, serta pesanan tertunggak solar 132kV yang besar dan kapasiti pengeluaran yang diperluas, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan itu berkata semua faktor tersebut juga diyakini akan terus menyokong pertumbuhan jualan dan margin keuntungan syarikat hingga ke suku pertama 2026 (1Q26).
HLIB Research menjangkakan keuntungan bersih teras Southern Cable bagi FY25 akan mencapai RM130.9 juta, dipacu oleh pengurusan projek ECRL yang lancar serta pengisian kapasiti baru.
“Peningkatan operasi kilang aluminium baharu dijangka turut menyokong margin keuntungan yang lebih tinggi pada FY26.
“Nilai pasaran Southern Cable kini berjumlah RM2.4 bilion dengan harga saham semasa RM2.14, berbanding harga sasaran HLIB RM2.59, memberikan potensi kenaikan modal sebanyak 21 peratus,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Syarikat itu kini merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada sekitar 59,000 km kabel setahun, termasuk kapasiti tambahan kira-kira 4,000 km, yang dijangka siap lebih awal daripada jangkaan.
HLIB berkata peningkatan kapasiti ini memberi potensi tambahan kepada ramalan keuntungan FY26, yang kini dijangka RM151.4 juta.
“Southern Cable kini berada dalam fasa terakhir pensijilan produk kabel 132kV, dengan rancangan pelancaran pasaran dijangka pada separuh pertama 2026. Langkah ini dijangka menyokong permintaan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), yang merancang mengehadkan import kabel 132kV.
“Sekatan import yang dirancang oleh TNB dijangka menyokong kapasiti pengeluaran tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada produk import, seterusnya mempercepat pengisian kapasiti Southern Cable dan meningkatkan hasil jualan syarikat,” kata HLIB.
Selain itu, produk kabel 132kV syarikat diperluaskan daripada 800 sqmm ke 1,800 sqmm, sesuai untuk projek grid pusat data dan TNB, yang sebelum ini kurang diterokai oleh Southern Cable.
Peningkatan ini dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat dalam jangka sederhana dan panjang.
HLIB menekankan bahawa permintaan tenaga elektrik di Malaysia dijangka terus meningkat, disokong oleh tiga faktor utama iaitu usaha TNB untuk meningkatkan ketahanan grid, pengembangan bekalan tenaga nasional, dan pertumbuhan permintaan daripada industri intensif tenaga seperti pusat data.
“Southern Cable dijangka mengekalkan margin operasi FY26 pada sekitar 11 peratus, selaras dengan prestasi FY25 yang dijangka. Peningkatan margin ini turut didorong oleh operasi kilang aluminium yang baharu, yang membolehkan pengeluaran rod aluminium meningkat tiga kali ganda.
“Dari segi dividen, Southern Cable dijangka membayar 1.7 sen sesaham bagi FY26, memberikan hasil dividen sebanyak 0.8 peratus. Syarikat juga mencatatkan nisbah hutang bersih berbanding ekuiti yang rendah, sekitar 10 peratus bagi FY26, menunjukkan kedudukan kewangan yang kukuh,” kata HLIB.
Sejak 12 bulan lalu, saham Southern Cable mencatat peningkatan 91 peratus. HLIB menekankan bahawa syarikat berada pada kedudukan strategik untuk terus memperoleh bahagian pasaran di sektor kabel tenaga tempatan. - DagangNews.com








