Solarvest komited kembangkan tenaga bersih mampu dimiliki semua rakyat di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest komited kembangkan tenaga bersih mampu dimiliki semua rakyat di Sarawak

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 20 NovSolarvest Holdings Berhad menyatakan komitmennya untuk memperkasakan penggunaan tenaga bersih di Sarawak, dengan fokus kepada pembangunan ekosistem tenaga hijau yang inklusif dan mampu dimiliki semua lapisan masyarakat.

 

Menurut Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Strategi Solarvest, Leon Liew Chee Ing, syarikat itu berperanan sebagai game-changer dalam landskap tenaga baharu, memastikan tenaga bersih bukan sekadar aspirasi, tetapi gaya hidup yang praktikal dan mampu dimiliki rakyat Sarawak.

 

“Matlamat kami selari dengan dasar transisi tenaga negeri. Dengan memperkasa komuniti untuk menjana dan menggunakan tenaga bersih, kami membantu Sarawak membina ekosistem tenaga hijau yang mampan serta merancakkan pembangunan ekonomi,“ katanya. 

 

Leon Liew berkata sebagai anak Sarawak, beliau menegaskan memastikan penerimaan tenaga bersih lebih mudah dan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat.

 

Dalam usaha menzahirkan aspirasi tersebut, Solarvest berjaya menganjurkan Dialog & Majlis Makan Malam Tenaga Hijau Solarvest pada 19 November 2025 di Kompleks Unifor, Kuching.

 

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 800 pemegang taruh utama daripada kerajaan, industri dan komuniti itu membincangkan strategi kolaboratif bagi mempercepatkan transisi tenaga bersih Sarawak.

 

Acara bertemakan “Satu Malam untuk Masa Depan Mampan Sarawak: Menjana Tenaga untuk Rumah, Perniagaan & Komuniti dengan Tenaga Suria” itu turut dihadiri Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, yang menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan tenaga hijau melalui kerjasama awam-swasta.

 

“Acara ini mencerminkan hala tuju jelas Sarawak dalam mempercepatkan peralihan kepada tenaga yang lebih bersih, selamat dan mampan dari segi ekonomi. Kerjasama seperti ini amat penting apabila kita menggerakkan lebih banyak projek tenaga boleh diperbaharui,“ katanya. 

 

Dr Hazland menambah, inisiatif ini turut membuka peluang pelaburan baharu, mewujudkan pekerjaan berkemahiran, serta memastikan manfaat tenaga bersih dapat dinikmati komuniti di seluruh Sarawak.

 

Majlis itu juga menyerlahkan sokongan Solarvest terhadap Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

 

Dalam konteks ini, perhatian turut diberikan kepada Skim Subsidi Penjajaran Tenaga Bersih (NEM) yang diperkenalkan Sarawak Energy Berhad pada September 2025, menawarkan insentif sehingga RM12,000 kepada pemilik rumah di bawah kategori Tarif Domestik yang memasang sistem solar bumbung bermula 2026.

 

Dialog dan majlis makan malam tersebut mengukuhkan lagi dedikasi Solarvest dalam membina ekosistem tenaga bersih Sarawak melalui inovasi, kerjasama strategik, serta penglibatan komuniti, selaras visi negeri menjadi hab tenaga bersih dengan penyelesaian tenaga rendah karbon, mampu milik dan berasaskan sumber tempatan. - DagangNews.com