SMTrack bentuk usaha sama dengan Madyna ambil alih 60% ekuiti syarikat di Mongolia, Gold Moon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SMTrack bentuk usaha sama dengan Madyna ambil alih 60% ekuiti syarikat di Mongolia, Gold Moon

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 AprilSMTrack Berhad membentuk usaha sama (JV) dengan Madyna Global LLC bagi menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dan mengambil alih Gold Moon DTT LLC di Mongolia.


Katanya, kumpulan berkenaan akan memegang 90% kepentingan dalam SPV tersebut, manakala baki 10% dimiliki oleh Madyna, yang akan digunakan untuk mengambil alih 60% ekuiti dalam Gold Moon DTT.


Menurut makluman SMTrack kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat swasta di Mongolia itu memberi fokus kepada perniagaan berteraskan makanan dan minuman (F&B), hospitaliti serta pengurusan acara.


"Gold Moon DTT merupakan pemilik jenama Z Terra dan pengendali Z Terra Event Hall, iaiatu salah satu lokasi ruang acara berbumbung terbesar di ibu kota Mongolia, Ulaanbaatar sendiri," tambahnya.


Ia memenuhi keperluan pelbagai acara korporat, sosial dan gaya hidup, manakala rakan JV SMTrack, Madyna, merupakan firma perunding perniagaan dan perdagangan asing yang juga berpusat di Mongolia.


Berdasarkan terma di bawah perjanjian JV yang dimeterai kedua-dua pihak, SPV tersebut dijangka akan dapat diperbadankan secara rasmi dalam tempoh 30 hari dari tarikh pelaksanaan perjanjian.


Mengulas mengenai rasional langkah itu, SMTrack menyatakan JV berkenaan memberi peluang bagi meningkatkan asas hasil dan menambah baik kedudukan kewangan menerusi perluasan perniagaannya.


"Ini terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti F&B, dan rancangan JV berkenaan dijangka mampu untuk menambahkan pendapatan masa hadapan syarikat," jelas SMTrack dalam makluman tersebut.


Langkah pengambilalihan Gold Moon DTT turut tidak memberi kesan material terhadap hasil sesaham, aset bersih dan tahap hutang syarikat bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Jun 2026.


Pada masa sama jelas kumpulan berkenaan, cadangan tersebut juga tidak akan melibatkan sebarang terbitan saham baharu oleh syarikat dan menggunakan pelbagai sumber untuk pembentukan JV itu.


Lembaga Pengarah SMTrack berpendapat JV ini adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, dengan  cadangan ini juga tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang sahamnya sendiri. - DagangNews.com