SkyWorld meterai MOU bagi rundingan eksklusif bagi projek RM136 juta di Vietnam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SkyWorld meterai MOU bagi rundingan eksklusif bagi projek RM136 juta di Vietnam

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Sept – SkyWorld Development Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, SkyWorld Development (Vietnam) Co. Ltd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Le Van Phong dan MTV Vina An Thuan Phat Co. Ltd (ATP) bagi mendapatkan tempoh rundingan eksklusif berhubung satu projek pembangunan di Vietnam.

 

Pihak-pihak terlibat memeterai MoU ini sebagai langkah awal sebelum menandatangani perjanjian transaksi muktamad untuk SkyWorld Vietnam membangunkan kompleks pangsapuri komersial pusat Sai Gon – Thuan An melalui pengambilalihan ATP.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SkyWorld Development memaklumkan, projek tersebut akan dilaksanakan melalui pengambilalihan kesemua modal berbayar penuh ATP oleh SkyWorld Vietnam, termasuk segala hak dan faedah yang berkaitan dengan projek tersebut, lot tanah serta aset lain milik ATP.

 

Harga pembelian bagi cadangan pengambilalihan itu dianggarkan berjumlah VND850 bilion (kira-kira RM136 juta).

 

“Ini adalah peluang terbaik untuk SkyWorld Development memulakan perniagaan pembangunan hartanah di Wilayah Binh Duong, Vietnam.

 

"Ini memandangkan projek tersebut berada di landasan untuk pelancaran segera, disokong oleh pelan induk yang telah diluluskan dan selaras dengan rancangan pengembangan serantau SkyWorld Development,” kata syarikat itu.

 

MoU ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan sekiranya projek ini dilaksanakan. - DagangNews.com