Skandal RM5.1 juta goncang TH Plantations, CEO dipecat serta-merta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skandal RM5.1 juta goncang TH Plantations, CEO dipecat serta-merta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Ogos - TH Plantations Bhd, cabang perladangan Lembaga Tabung Haji, menamatkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohamed Zainurin Mohamed Zain, menurut makluman syarikat itu kepada Bursa Malaysia.

 

Langkah tersebut dibuat susulan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan pada Julai lalu kepada beliau serta Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Marliyana Omar, berhubung dakwaan pembayaran tidak sah berjumlah RM5.1 juta kepada pekerja ladang.

 

 

 

 

 

 

 

 

Marliyana kemudiannya meletak jawatan selepas menerima surat tunjuk sebab tersebut.

 

 

TH Plantation
         Mohamed Zainurin Mohamed Zain                                             Marliyana Omar

 


Dalam pemakluman berasingan kepada bursa, syarikat menyatakan Mohamed Zainurin yang menerima surat penamatan pada Selasa telah dilucutkan jawatan atas alasan salah laku. Tiada butiran lanjut didedahkan.

 

Mohamed Zainurin, 58, yang dilantik sebagai CEO TH Plantations sejak Oktober 2021, sebelum ini telah diarahkan bercuti sementara (garden leave) selepas menerima surat tunjuk sebab.

 

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai pengawal kewangan di New Britain Palm Oil, anak syarikat Sime Darby Plantation di Papua New Guinea. Beliau juga pernah menjawat jawatan Naib Presiden Kanan di unit agromakanan Khazanah Nasional serta beberapa jawatan kanan lain di anak syarikat dan usaha sama Khazanah.

 

Operasi TH Plantations kini dikendalikan oleh jawatankuasa eksekutif lembaga yang ditubuhkan pada Julai lalu, dipengerusikan oleh Pengerusi Datuk Dr Ahmad Kushairi Din bersama ahli lain iaitu pengarah Kasmuri Sukardi, Nor Adila Ismail dan Ketua Pegawai Operasi, Alikamal Abu Hassan.

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025), TH Plantations melaporkan keuntungan bersih 13.25% lebih tinggi, disokong oleh harga serta volum jualan minyak sawit mentah dan isirung sawit yang meningkat.

 

Keuntungan bersih suku tersebut berjumlah RM11.79 juta berbanding RM10.41 juta dalam 2QFY2024.

 

Pada 2019, TH Plantations pernah menamatkan perkhidmatan CFO ketika itu, Mohamed Azman Shah Ishak, selepas digantung dua bulan dan menerima surat tunjuk sebab. Penamatan itu susulan audit forensik yang dijalankan pengurusan baharu ketika berusaha memulihkan syarikat, namun hasil audit berkenaan tidak pernah didedahkan.

 

 

 

 

 

 

Dalam tempoh interim, tugas CFO diambil alih oleh Marliyana serta kakitangan kewangan Hamidah Hassan.

 

Saham TH Plantations ditutup susut 4.46% atau 2.5 sen kepada 54 sen pada Selasa, dengan modal pasaran bernilai RM472.86 juta. Sehingga kini, saham syarikat itu telah merosot 21.32% bagi tahun semasa. - DagangNews.com