Sistem subsidi diesel “Bayar Dahulu, Rebat Kemudian” tekan pengusaha lori kepada krisis aliran tunai - Persatuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sistem subsidi diesel “Bayar Dahulu, Rebat Kemudian” tekan pengusaha lori kepada krisis aliran tunai - Persatuan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Mac – Pengusaha pengangkutan memberi amaran mekanisme subsidi diesel semasa yang memerlukan bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum rebat diterima, sedang membawa mereka ke ambang krisis kecairan aliran tunai.

 

Sehubungan itu pengusaha pengangkutan berkenaan menggesa kerajaan mempertimbangkan mekanisme alternatif seperti potongan subsidi secara masa nyata di stesen minyak atau memperkenalkan kitaran rebat yang lebih kerap, contohnya bayaran mingguan.

 

Persekutuan Pengusaha Lori Malaysia berkata, model “bayar dahulu, rebat kemudian” walaupun sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar, tidak mengambil kira realiti aliran tunai harian yang dihadapi pengusaha kecil dan sederhana.

 

Presidennya, Datuk Ng Koong Sinn berkata, pengusaha kini perlu membayar harga pasaran penuh diesel sebanyak RM5.52 seliter terlebih dahulu, sebelum menerima bayaran balik hanya pada hujung bulan.

 

“Bagi armada sederhana dengan 10 lori, setiap satu menggunakan kira-kira 200 liter diesel sehari, pengusaha perlu mengeluarkan RM11,040 setiap hari untuk memastikan operasi berjalan.

 

“Dalam tempoh sebulan, kos bahan api yang perlu dibayar terlebih dahulu mencecah RM287,040,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, keadaan itu memaksa pengusaha menyediakan kira-kira RM300,000 dalam bentuk tunai, selain menanggung kos lain seperti gaji pekerja, penyelenggaraan dan perbelanjaan operasi.

 

“Kebanyakan perniagaan kecil tidak mempunyai kecairan sebanyak itu. Kami kini terpaksa memilih antara mengisi minyak atau membayar gaji pekerja,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan mekanisme alternatif seperti potongan subsidi secara masa nyata di stesen minyak atau memperkenalkan kitaran rebat yang lebih kerap, contohnya bayaran mingguan.

 

Menurutnya, tanpa langkah penambahbaikan, pengusaha pengangkutan kecil dan sederhana berdepan risiko tekanan kewangan yang serius, sekali gus boleh menjejaskan kelangsungan operasi serta rantaian bekalan negara. - DagangNews.com