Sin-Kung Airways bekerjasama dengan Pos Malaysia kukuhkan kerangka operasi kargo | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sin-Kung Airways bekerjasama dengan Pos Malaysia kukuhkan kerangka operasi kargo

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Okt – Sin-Kung Airways Sdn Bhd terus memperkukuh keupayaan operasinya menjelang pelancaran komersial yang dijadualkan pada suku keempat 2025 dengan mengadakan kerjasama strategik bersama anak-anak syarikat  Pos Malaysia Berhad.

 

Sin-Kung Airways anak syarikat milik penuh Sin-Kung Logistics Bhd dalam kenyataan memberitahu kerjasama dengan Pos Aviation Sdn Bhd dan Pos Aviation Engineering Services Sdn Bhd (PAES) merangkumi perkhidmatan pengendalian darat, katering dalam penerbangan, serta sokongan kejuruteraan pesawat.

 

Sin-Kung Airways memberi tumpuan kepada operasi sewaan khas kargo udara, menggunakan armada pesawat Boeing 737-400F.

 

Pos Aviation, anak syarikat Pos Malaysia, menawarkan perkhidmatan pengendalian darat dan katering dalam penerbangan menerusi PAES, meliputi syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa di seluruh negara.

 

Di bawah kerjasama ini, Pos Aviation akan menyediakan perkhidmatan pengendalian darat kepada Sin-Kung Airways dan Sin-Kung Logistics di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, merangkumi operasi terminal, penerimaan dan penghantaran kargo, pengendalian trak serta pemprosesan manifes.

 

Bagi menyokong operasi sewaan kargo udara, Pos Aviation turut akan menyediakan katering dalam penerbangan dan logistik makanan darat menerusi kemudahan kateringnya yang diperakui halal, bagi memastikan kualiti dan konsistensi perkhidmatan dipelihara.

 

Sementara itu, PAES akan menyediakan penyelenggaraan dan sokongan kejuruteraan untuk armada pesawat Sin-Kung Airways di KLIA, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi.

 

Skop perkhidmatan ini merangkumi pemeriksaan berkala, pembaikan kerosakan, serta bantuan teknikal mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

 

Pengarah Urusan Sin-Kung Logistics, Alan Ong, berkata kerjasama ini sebahagian daripada strategi menyeluruh syarikat untuk membangunkan kerangka operasi kukuh dalam menyokong pelancaran perkhidmatan mereka.

 

"Kerjasama bersama Pos Aviation dan PAES membolehkan kami memanfaatkan infrastruktur menyeluruh serta kepakaran teknikal mereka, bagi memastikan operasi kami menepati piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan," katanya.

 

Beliau menambah perjanjian ini juga memperkukuh integrasi logistik kumpulan melalui Sin-Kung Logistics, khususnya dalam meningkatkan keterlihatan kargo dan kecekapan putaran (turnaround) operasi di KLIA dan Pulau Pinang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Aviation, Saravanan Ramasamy, berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pertumbuhan sektor penerbangan dan logistik di Malaysia.

 

"Perkongsian ini menegaskan peranan Pos Aviation sebagai penyedia penyelesaian penerbangan bersepadu – merangkumi pengendalian kargo dan darat, katering dan kejuruteraan – bagi menawarkan sokongan operasi menyeluruh kepada rakan penerbangan kami," katanya.

 

Beliau menambah, pihaknya yakin terhadap potensi Sin-Kung Airways untuk berkembang di rantau ini dan berharap Pos Aviation dapat terus menyumbang kepada kejayaan itu. - DagangNews.com