KUALA LUMPUR 17 Julai - Penyedia perkhidmatan pemasangan infrastruktur telekomunikasi, Silver Ridge Holdings Bhd melantik lima pengarah baharu bagi memperkukuh barisan kepimpinan syarikat susulan pelaksanaan pelan penggantian dan peralihan pengurusan.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata pelantikan yang berkuat kuasa pada 16 Julai 2026 itu dibuat selepas enam ahli lembaga pengarah melepaskan jawatan pada 26 Jun lalu sebagai sebahagian daripada proses peralihan kepimpinan.
Enam pengarah yang berundur termasuk Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khoo Yik Chou; Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Syauqat Mohd Suhaimi; Pengarah Eksekutif, Syakur Mohd Suhaimi; serta tiga pengarah bebas.
Sebelum itu, Silver Ridge telah melantik Pengarah Eksekutif, Vincent Gan Kean Cheang, 44, sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 30 Jun 2026, manakala Mohd Fais Mohd Hamdan, 40, dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi pada tarikh yang sama.
Gan yang juga pemegang saham utama syarikat memiliki pegangan sebanyak 5.522% dalam Silver Ridge.
Pelantikan terbaharu itu melibatkan individu yang mempunyai kepakaran merentas pelbagai sektor termasuk hospitaliti, hartanah, pembinaan, pentadbiran awam, kejuruteraan, perundangan dan semikonduktor, sekali gus dijangka mengukuhkan tadbir urus serta hala tuju strategik kumpulan.
Antara yang dilantik ialah Nigel Law Hun Chuen, 37, sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas.
Beliau mempunyai pengalaman dalam bidang hospitaliti, pelaburan hartanah, penjenamaan, pengiklanan dan pembinaan serta berpengalaman merangka strategi bagi meningkatkan prestasi operasi dan keuntungan syarikat.
Law kini merupakan Pengarah Urusan Pierfront Sdn. Bhd. dan Hyperise Builder Sdn. Bhd., selain memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Plan C Patisserie Sdn. Bhd. serta Ketua Pegawai Kewangan Kota Cornwallis Dine & Coffee Sdn. Bhd. Beliau juga bertindak sebagai pengasas dan penasihat kepada beberapa perniagaan lain.
Silver Ridge turut melantik empat Pengarah Bukan Eksekutif Bebas iaitu James Koh Siaw Heong, 44, yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam pentadbiran awam, penggubalan dasar, strategi korporat, pelaburan dan pembangunan perniagaan termasuk pernah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Turut menyertai lembaga pengarah ialah Dr Ong Chin Yee, 44, pakar geoteknikal dengan pengalaman lebih sedekad dalam reka bentuk asas bangunan dan pembinaan; Lim Soo Zee, 39, seorang peguam bela dan peguam cara yang berpengalaman selama 14 tahun dalam pertikaian korporat, undang-undang pembinaan, insolvensi dan litigasi sivil; serta Tan Kok Chin, 52, yang memiliki pengalaman selama 25 tahun dalam industri semikonduktor dan jentera.
Selepas rombakan itu, selain Gan, dua lagi ahli lembaga pengarah yang kekal ialah Pengerusi merangkap Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, Tengku Shahrain Shah Tengku Sulaiman Shah, dan Pengarah Bebas, Neo Chen Yee.
Langkah penyusunan semula lembaga pengarah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Silver Ridge memperkukuh struktur tadbir urus korporat serta memastikan kesinambungan kepimpinan dalam menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








