Binance kekal diharamkan di Malaysia, belum berlesen atau berdaftar dengan SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binance kekal diharamkan di Malaysia, belum berlesen atau berdaftar dengan SC

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 17 Julai – Platform mata wang kripto dan teknologi blockchain global, Binance, kekal tidak dibenarkan beroperasi di Malaysia kerana masih belum dilesenkan atau didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menjalankan aktiviti pasaran modal di negara ini.

 

Laman web dan aplikasi Binance juga masih disekat daripada diakses oleh pengguna di Malaysia, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Menurut kementerian itu, SC akan terus memantau perkembangan berkaitan Binance serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau timbul risiko baharu kepada pelabur tempatan.

 

Kementerian itu menyatakan demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan).

 

Binance dikeluarkan daripada Senarai Amaran Pelabur

Lim meminta penjelasan mengenai sama ada SC merancang memberikan lesen operasi kepada Binance serta sebab syarikat itu dikeluarkan daripada Senarai Amaran Pelabur (Investor Alert List) selepas sebelum ini disenaraikan dalam senarai berkenaan.

 

Menurut MOF, SC telah mengeluarkan Binance daripada Senarai Amaran Pelabur pada 2024 selepas mendapati syarikat itu tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti pasaran modal yang dikawal selia di Malaysia.

 

Bagaimanapun, kementerian menegaskan langkah itu tidak bermaksud Binance telah diberikan kelulusan atau lesen untuk beroperasi di negara ini.

 

MOF berkata, SC mengamalkan dasar terbuka dengan menggalakkan penyertaan semua peserta pasaran modal, termasuk syarikat inovatif, dalam pembangunan ekosistem pasaran modal Malaysia.

 

 

Pada masa sama, kementerian berkata, SC kekal komited untuk berinteraksi dengan pemain global yang berminat menyertai pasaran modal Malaysia selaras dengan rangka kerja kawal selia yang ditetapkan.

 

Namun sehingga kini, Binance masih belum memperoleh lesen atau pendaftaran daripada SC, manakala akses kepada laman sesawang dan aplikasinya terus disekat untuk pengguna di Malaysia. - DagangNews.com