Perniagaan pusat data dijangka lonjak pendapatan TM mulai 2027 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perniagaan pusat data dijangka lonjak pendapatan TM mulai 2027 - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Julai - Perniagaan pusat data Telekom Malaysia Bhd (TM) dilihat masih belum dinilai sepenuhnya oleh pasaran walaupun berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan utama kumpulan dalam jangka panjang, didorong permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI), menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan berkata, aset pusat data TM dijangka menjadi pemangkin struktur kepada pertumbuhan kumpulan, dengan projek TM Nxera menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 60% kapasiti Fasa 1 berjumlah 64MW telah ditempah lebih awal sebelum mula beroperasi pada separuh kedua 2026.

 

Katanya, kapasiti keseluruhan pusat data TM di Cyberjaya dan Iskandar Puteri (IPDC) kini meningkat dua kali ganda kepada kira-kira 40MW selepas kerja naik taraf yang disiapkan pada 2025.

 

"Pihak pengurusan memaklumkan kadar penggunaan pusat data kekal kukuh melebihi 60% ketika ini dan menyasarkan kadar penggunaan melebihi 90% menjelang akhir 2026," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut firma itu, perniagaan pusat data TM dijangka mencatat pertumbuhan hasil dan EBITDA pada kadar dua digit bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028 walaupun ketika ini hanya menyumbang peratusan satu digit kepada hasil keseluruhan kumpulan.

 

Pembangunan Pusat Data AI

Selain pusat data sedia ada, pembangunan pusat data AI menerusi usaha sama TM Nxera bersama Singtel turut dijangka menjadi penyumbang baharu kepada keuntungan kumpulan.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan TM mampu menjana keuntungan syarikat bersekutu sekitar RM50 juta hingga RM60 juta setahun daripada projek tersebut berdasarkan kadar penggunaan 80%, kadar pulangan dalaman (IRR) sebanyak 12% dan kos pembangunan sekitar RM2.8 bilion.

 

Menurutnya, sumbangan itu berpotensi meningkatkan unjuran pendapatan TM bagi FY27 hingga FY28 sekitar 2%, bersamaan pertambahan nilai ekuiti kira-kira 16 sen sesaham.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'BELI' terhadap saham TM dengan harga sasaran RM9.30 berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF), menggunakan andaian kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 8.2%.

 

Katanya, saham TM masih diniagakan pada penilaian yang menarik dengan nisbah EV/EBITDA FY26 sekitar lima kali, jauh lebih rendah berbanding purata sejarah sektor sebanyak 9.5 kali.

 

"Penilaian itu disokong oleh hasil dividen hadapan melebihi 5%, peningkatan pulangan ke atas modal dilaburkan (ROIC) serta beberapa pemangkin pertumbuhan pendapatan yang bersifat struktur, khususnya daripada pengembangan perniagaan pusat data dan infrastruktur digital," katanya.

 

Unjuran Konservatif

RHB Research menambah, unjuran pengurusan yang menjangkakan EBIT FY26 kekal mendatar juga dilihat konservatif memandangkan terdapat potensi penjimatan kos lebih besar, termasuk kos Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang lebih rendah serta usaha pengoptimuman operasi yang berterusan.

 

Katanya, segmen borong dijangka terus menjadi penyumbang utama pertumbuhan kumpulan selepas mencatat pertumbuhan 2.1% tahun ke tahun pada suku pertama 2026.

 

Momentum itu disokong oleh peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan backhaul gentian 5G, kolokasi pusat data dan penyelesaian sambungan rangkaian, selain pengoperasian kabel dasar laut baharu Asia Link Cable pada suku pertama 2027 serta SEA-ME-WE6 pada tahun yang sama.

 

Selain itu, migrasi rangkaian 5G U Mobile yang dijangka diselesaikan seawal suku ketiga 2026 berbanding jangkaan sebelumnya pada suku keempat tahun ini dijangka membolehkan TM merealisasikan penjimatan kos infrastruktur dengan lebih pantas.

 

Bagi segmen runcit pula, walaupun jumlah pelanggan gentian kekal mendatar pada suku pertama 2026 berikutan persaingan sengit dan faktor bermusim, hasil perkhidmatan internet terus meningkat bagi suku kedua berturut-turut.

 

Momentum tersebut dijangka terus bertambah baik pada separuh kedua 2026 susulan pelancaran kempen Home Pro, yang membolehkan pelanggan menaik taraf kepada pelan berkelajuan lebih tinggi bersama tawaran peranti yang lebih menarik. - DagangNews.com