Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Lakar Pencapaian Luar Biasa Dalam Diplomasi Serantau - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Lakar Pencapaian Luar Biasa Dalam Diplomasi Serantau - PM Anwar

KUALA LUMPUR 27 Mei (Bernama) - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 sebagai peristiwa luar biasa dalam konteks Asia Tenggara.

 

Beliau berkata kehadiran pemimpin ASEAN dan wakil dari negara GCC yang paling dinamik ialah bukti kepada kepercayaan dan persahabatan yang semakin kukuh antara dua blok berkenaan.

 

Anwar memuji penganjuran sidang kemuncak itu sebagai pencapaian hebat dalam diplomasi serantau dengan negara-negara Teluk, bertujuan mengeratkan lagi hubungan politik, ekonomi dan strategik antara dua rantau.

 

“(Sidang kemuncak) ini, berdasarkan pengalaman kami di rantau ini, ialah sesuatu yang amat luar biasa, dapat menghimpunkan bukan sahaja pemimpin ASEAN, tetapi juga negara GCC paling dinamik ke rantau ini … untuk bekerjasama, membina kepercayaan dan persahabatan sejati,” kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

 

 

ASEAN

 

 

Anwar berkata sidang kemuncak itu dibina berdasarkan asas kukuh daripada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama berlangsung di Riyadh pada 2023, menegaskan bahawa penglibatan berterusan mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan antara dua kumpulan serantau.

 

“Kehadiran anda ialah bukti kepada komitmen bersama untuk memupuk hubungan yang lebih erat antara dua rantau dan memperkukuh hubungan strategik,” kata beliau.

 

Sebagai mesyuarat utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Anwar berkata tema kepengerusian “Keterangkuman dan Kemampanan”, menyuarakan aspirasi untuk pertumbuhan yang adil, berpaksikan rakyat dan berpandangan jauh berdasarkan nilai yang selari dengan ASEAN dan GCC.

 

“Tema ini selari dengan nilai yang dikongsi ASEAN dan GCC – kestabilan melalui perpaduan, kemakmuran melalui kerjasama, dan daya tahan melalui tanggungjawab bersama,” kata beliau sambil menambah GCC ialah rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN pada 2023, dengan nilai mencecah ASD130.7 bilion, pelaburan terus berkembang yang mencerminkan keyakinan antara kedua-dua rantau.

 

Anwar berkata, hubungan dan pelaburan yang meningkat antara blok 10 negara Asia Tenggara dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kaya dengan minyak mencerminkan keyakinan yang tinggi terhadap prospek jangka panjang kerjasama antara kedua-dua pihak.

 

Beliau berkata Rangka Kerja Kerjasama ASEAN-GCC (2024–2028), yang diterima pakai pada sidang kemuncak pertama pada 2023, menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan kerjasama dalam ketiga-tiga tonggak kerjasama dan momentum itu menggalakkan.

 

“Pada 2023, GCC ialah rakan dagangan ke-7 terbesar ASEAN, dengan jumlah perdagangan mencecah US$130.7 bilion. Pelaburan turut meningkat, mencerminkan keyakinan tinggi terhadap prospek kerjasama dalam tempoh jangka panjang,” kata beliau pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 di sini hari.

 

Anwar berkata kerjasama ASEAN-GCC amatlah penting berikutan landskap global yang menjadi semakin kompleks dengan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran geopolitik.

 

Hubungan ASEAN-GCC yang lebih kukuh pemangkin untuk meningkatkan kerjasama antara rantau, membina daya tahan dan menjamin kemakmuran yang mampan untuk rakyat.

 

“Perbincangan hari ini penting untuk memastikan kerjasama kita kekal dinamik, responsif dan berkesan. Marilah kita menggunakan sidang kemuncak hari ini untuk mengekalkan matlamat kolektif kita dan menterjemahkan visi bersama kita kepada kerjasama yang konkrit dan berimpak,” kata beliau.

 

Antara pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak ini ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

 

Turut hadir Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao sebagai pemerhati dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

 

Sementara itu, pihak GCC yang menghadiri sidang kemuncak kedua itu ialah Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa serta Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah.

 

Timbalan Perdana Menteri Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al Saud serta Ahli Majlis Tertinggi Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Ras Al Khaimah (RAK) Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi turut menyertai sidang kemuncak berkenaan. - BERNAMA