KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pasukan Petugas Khas Polis Bukit Aman mengesan unsur ketidakpatuhan terhadap protokol ketika peringkat awal siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, mengadakan sidang media pada 13 Ogos, bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir dari Papar, Sabah.
Menurut laporan media, Kumar berkata maklumat tersebut adalah hasil penemuan pasukan petugas khas Polis Bukit Aman yang ditubuhkan untuk mengendalikan kes ini.
Sembilan pegawai JSJ dihantar ke Sabah pada 11 Ogos untuk mengambil alih siasatan bagi memastikan ia dijalankan dengan telus dan menyeluruh.
Berikut pengesahan polis setakat ini:
1. Bedah siasat terkini sahkan punca kematian selaras dengan diagnosis awal
Kumar berkata bedah siasat yang dilakukan pada 10 Ogos mengesahkan Zara meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk disebabkan kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak akibat terjatuh.
Beliau menambah, Zara tidak meninggal dunia di lokasi kejadian pada 16 Julai, tetapi menghembuskan nafas terakhir di hospital keesokan harinya. Penemuan ini selaras dengan penilaian awal.
2. Unsur ketidakpatuhan protokol dalam siasatan awal
Kumar mendedahkan pegawai penyiasat (IO) asal gagal memohon bedah siasat walaupun terdapat keadaan mencurigakan.
“Apabila ada kematian yang mencurigakan, post-mortem mesti dilakukan. Persoalannya, mengapa IO tidak memohonnya?” katanya.
Beliau menegaskan pemeriksaan post-mortem sepatutnya dijalankan walaupun ibu Zara telah menandatangani pernyataan menolak prosedur itu. Dokumen rasmi tersebut bertajuk ‘Pengisytiharan Penolakan Bedah Siasat Ke Atas Mayat Atas Permintaan Sendiri’ ditandatangani ibu mangsa, pakar patologi dan IO.
Kumar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap IO dan ketua bahagian mereka yang akan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.
3. 82 kenyataan telah diambil, bantuan psikologi diberikan kepada pelajar
Polis telah merekodkan 82 kenyataan, termasuk daripada pelajar, dan pasukan khas mungkin akan memanggil semula beberapa saksi untuk siasatan tambahan.
Sokongan psikologi turut diberikan kepada 124 pelajar SMKA Tun Datu Mustapha yang trauma akibat kejadian tersebut.
4. Unsur buli disahkan dalam kes ini
Kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kini memberi tumpuan kepada unsur jenayah.
Kumar berkata keterangan saksi menunjukkan buli berlaku sebelum kematian Zara.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang berkuat kuasa pada 11 Julai lalu, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
5. Polis turut siasat penyebaran berita palsu di media sosial
Kumar berkata seorang wanita berusia 39 tahun di Rawang telah ditahan kerana menyebarkan berita palsu termasuk dakwaan bahawa mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Setakat ini, 15 kertas siasatan dibuka berhubung penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut.
“Kami perlu mengambil tindakan tegas terhadap berita palsu kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam dan proses siasatan,” katanya. - DagangNews.com








