Siasatan SPRM tidak libatkan IJM sebagai entiti korporat, hanya individu tertentu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siasatan SPRM tidak libatkan IJM sebagai entiti korporat, hanya individu tertentu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Mac — IJM Corporation Berhad mengesahkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sejak Januari lalu tidak melibatkan syarikat itu sebagai entiti korporat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata, siasatan tersebut hanya melibatkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan IJM.

 

Menurut syarikat itu, pihaknya telah menerima surat daripada SPRM pada hari ini yang mengesahkan bahawa siasatan yang sedang dijalankan tidak berkaitan dengan IJM sebagai sebuah entiti korporat.

 

“SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan tersebut hanya melibatkan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan IJM, dan bukan melibatkan syarikat itu sendiri,” kata kenyataan itu.

 

Pada 21 Januari lalu, BERNAMA melaporkan SPRM membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan dalam siasatan kes Ops Heart melibatkan IJM Corporation Bhd (IJM).

 

Menurut sumber, pemeriksaan dan penggeledahan dalam siasatan berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion berkenaan dilaksanakan termasuk di kediaman dan pejabat seorang daripada pengurusan tertinggi IJM.

 

Pada masa sama, SPRM turut membekukan 55 akaun bank persendirian serta akaun syarikat yang berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta.

 

Selain itu, siasatan turut menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram. - DagangNews.com