Siasatan Seksyen 301 dijangka tingkatkan beban tarif bagi negara membangun termasuk Malaysia - Pakar perdagangan antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siasatan Seksyen 301 dijangka tingkatkan beban tarif bagi negara membangun termasuk Malaysia - Pakar perdagangan antarabangsa

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac – Siasatan perdagangan terbaharu Amerika Syarikat dijangka meningkatkan risiko tarif bagi negara membangun apabila Washington menggunakan semula mekanisme undang-undang lama untuk memberi tekanan kepada rakan dagangnya.

 

Pakar perdagangan antarabangsa, Abhijit Das berkata langkah itu menunjukkan penggunaan tarif sebagai alat pengaruh yang semakin meluas dan memberi amaran terhadap negara membangun yang berisiko menjadi ‘tebusan’ sekiranya gagal bertindak tegas.

 

Pada 11 Mac, Amerika Syarikat memulakan siasatan di bawah Seksyen 301(b) terhadap 16 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kemboja bagi menilai sama ada dasar pembuatan yang berkaitan dengan kapasiti berlebihan menjejaskan perdagangan Amerika.

 

Siasatan itu dijalankan oleh pihak berkuasa perdagangan Amerika Syarikat yang dibimbangi boleh menyebabkan berlakunya kadar tarif atau sekatan import jika negara-negara terbabit didapati menjejaskan kepentingan perniagaan Amerika.

 

Proses siasatan itu biasanya mengambil masa 12 hingga 18 bulan dan melibatkan perundingan, sesi pendengaran awam serta cadangan akhir.

 

Seksyen 301 membolehkan Amerika Syarikat menangguhkan konsesi perdagangan atau mengenakan duti, walaupun tindakan boleh dielakkan sekiranya negara terbabit bersetuju menghapuskan langkah-langkah yang dipertikaikan.

 

Mekanisme ini telah lama menjadi kontroversi kerana banyak anggota organisasi perdagangan dunia berhujah bahawa tindakan unilateral Amerika Syarikat melanggar peraturan perdagangan global.

 

Langkah terbaru ini juga berlaku selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan tarif yang dikenakan pada April 2025 di bawah kuasa kecemasan. Sejak itu, Amerika Syarikat memperkenalkan tarif sementara sebanyak 10 peratus yang hanya sah selama 150 hari.

 

Untuk meneruskan tarif ini melebihi 150 hari, kelulusan kongres diperlukan, satu prospek yang sukar pada masa ini. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Amerika Syarikat siasat lagi Malaysia, kali ini berkaitan dakwaan gagal tangani buruh paksa

 

Siasatan di bawah Seksyen 301-310 boleh membantu Amerika Syarikat mengatasi masalah tersebut.

 

Siasatan Seksyen 301 juga boleh menyediakan alternatif untuk melanjutkan tarif melebihi had tersebut dan meningkatkan pengaruh dalam rundingan perdagangan.

 

Pengkritik berkata, pendekatan Amerika Syarikat yang melihat lebihan perdagangan sebagai tanda kapasiti berlebihan tidak mengambil kira kelebihan dari segi keupayaan sesebuah negara dan mungkin tiada asas undang-undang yang kukuh.

 

Siasatan ini turut dilihat sebagai alat untuk mendapatkan konsesi di bawah perjanjian perdagangan timbal balik, yang menurut sesetengah pihak memberi kelebihan kepada Amerika Syarikat. 

 

Tarif dan sekatan lain yang mungkin dikenakan selepas siasatan Seksyen 301 akan mewujudkan pengaruh tambahan bagi Amerika Syarikat untuk mendapatkan konsesi daripada negara yang disiasat.

 

Bagi Malaysia, manfaat daripada perjanjian seperti ini kini tidak menentu, terutamanya selepas tarif timbal balik sebelum ini telah dianggap menyalahi undang-undang dan tidak memberikan perlindungan terhadap tindakan Seksyen 301 yang berpotensi. 

 

Perjanjian perdagangan timbal balik juga tidak lagi sah kerana asasnya sendiri iaitu pengurangan atau pengecualian daripada tarif timbal balik adalah menyalahi peraturan perdagangan.

 

Abhijit Das menegaskan, jika Kemboja, Indonesia, Malaysia dan negara membangun lain ingin melaksanakan dasar yang mengutamakan kepentingan domestik, mereka perlu memiliki keberanian politik untuk menentang taktik ugutan Amerika Syarikat.

 

Kegagalan berbuat demikian akan menjadikan mereka tebusan kepada kepentingan Amerika Syarikat dan strategi tarifnya yang tegas. - DagangNews.com