Amerika Syarikat siasat lagi Malaysia, kali ini berkaitan dakwaan gagal tangani buruh paksa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Amerika Syarikat siasat lagi Malaysia, kali ini berkaitan dakwaan gagal tangani buruh paksa

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Mac - Malaysia sekali lagi berada dalam radar siasatan Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) - kali ini didakwa gagal mengambil tindakan terhadap penggunaan buruh paksa dalam pengeluaran barangan.

 

Semalam pejabat sama turut mengeluarkan kenyataan bahawa Amerika Syarikat (AS) memulakan siasatan terhadap kes lebihan kapasiti dan pengeluaran dalam sektor pembuatan di 15 negara termasuk Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU).

 

USTR berkata, sebanyak 60 negara termasuk Malaysia disiasat berhubung dakwaan kegagalan mengambil tindakan terhadap penggunaan buruh paksa itu.

 

 

 

 

 

 

 

Dalam satu kenyataan pejabat itu memaklumkan siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 301(b) Akta Perdagangan 1974, bagi menilai sama ada cara negara terbabit mengendalikan barangan yang didakwa dihasilkan menggunakan buruh paksa menjejaskan perdagangan AS.

 

Duta Perdagangan AS, Jamieson Greer, berkata langkah itu diambil bagi melindungi kepentingan pekerja dan syarikat Amerika daripada persaingan tidak adil.

 

“Untuk tempoh yang terlalu lama, pekerja dan syarikat Amerika terpaksa bersaing dengan pengeluar asing yang mungkin memperoleh kelebihan kos secara tidak adil melalui penggunaan buruh paksa,” katanya.

 

Artikel Berkaitan: Amerika Syarikat siasat Malaysia disyaki terlibat kes lebihan kapasiti pembuatan

 

Selain Malaysia, senarai ekonomi yang turut disiasat termasuk Kesatuan Eropah, China, India, Arab Saudi dan Brazil.

 

Di rantau Asia Tenggara pula, AS turut meneliti amalan beberapa negara lain termasuk Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand, Filipina dan Vietnam.

 

 

 

 

 

 

Menurut USTR, kerajaan AS telah meminta rundingan dengan kerajaan negara yang terlibat dalam siasatan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

 

Sesi pendengaran awam berkaitan siasatan itu dijadualkan berlangsung pada 28 April. - DagangNews.com