KUALA LUMPUR 27 Oktober –Shin Yang Group Bhd terus mengukuhkan aset dan operasi logistiknya di Sabah dengan mengambil alih tanah perindustrian seluas 5.37 hektar yang terletak berhampiran Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu bernilai RM26.6 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, pengambilalihan tersebut akan dilakukan melalui anak syarikat milik penuhnya, Shin Yang Shipping Sdn Bhd.
Tanah tersebut yang turut mempunyai bangunan bengkel akan dibeli daripada Shin Yang Sdn. Bhd yang juga syarikat berkaitan di bawah Kumpulan sama.
“Ketika ini, ia digunakan sebagai depot kontena dan bengkel dengan kadar penghunian 60%. Ia dijangka memberikan hasil sewaan sekitar RM240,000 setahun,” kata Shin Yang.
Cadangan pengambilalihan ini dijangka dapat menyokong operasi logistik dan perkhidmatan bengkel Kumpulan itu Sabah, serta memperkukuh kedudukan kumpulan dalam sektor perkapalan dan logistik di kawasan timur Malaysia.
Hartanah tersebut, yang dinilai pada RM26.6 juta oleh CH Williams Talhar Wong & Yeo Sdn Bhd, mempunyai pajakan selama 99 tahun yang akan tamat pada tahun 2095.
Harga pembelian akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman syarikat, dengan bayaran pendahuluan 10% dibuat semasa menandatangani perjanjian dan baki 90% dibayar dalam tempoh 90 hari atau selepas kelulusan pemindahan tanah diperoleh.
Shin Yang berkata, pengambilalihan ini menyokong strategi pengembangan gudang dan pembangunan logistik kumpulan, sekali gus membolehkan syarikat mengurangkan kebergantungan kepada premis sewaan, meningkatkan kapasiti operasi serta memperkukuh kecekapan rantaian bekalan.
Lembaga pengarah (tidak termasuk pengarah yang berkepentingan) dan jawatankuasa audit masing-masing berpendapat bahawa urus niaga ini adalah adil, munasabah dan demi kepentingan terbaik syarikat.
Urus niaga ini dijangka selesai pada suku keempat tahun 2025. - DagangNews.com








