Sentral REIT lantik Tay Hui Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentral REIT lantik Tay Hui Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Jan – Sentral REIT Management Sdn Bhd, pengurus kepada Sentral REIT, telah melantik Tay Hui Ling sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 22 Januari.

 

Pelantikan tersebut bagaimanapun akan dimuktamadkan selepas memperoleh kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, pengurus REIT itu mengesahkan Hui Ling menggantikan Teh Wan Wei, yang meletakkan jawatan sebagai CEO Sentral REIT pada September tahun lalu. 

 

Teh Wan Wei kemudiannya dilantik sebagai CEO Sentral REIT pada Disember 2025.

 

Hui Ling, 49, sebelum ini merupakan Ketua Pengurusan Dana bagi Singapura, Vietnam dan Malaysia di LOGOS (ESR Group), di mana beliau menyelia beberapa portfolio dana logistik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sekitar AS$2.5 bilion.

 

Menurut Sentral REIT, tanggungjawab beliau merangkumi strategi portfolio, pengurusan aset dan kecairan, penstrukturan dana, pengumpulan modal, pemerolehan dan pelupusan aset serta hubungan pelabur.

 

“Hui Ling juga pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di beberapa institusi global termasuk Government Investment Corporation of Singapore, Lendlease dan HSBC Investment Banking di London,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Sentral REIT mengurus beberapa bangunan pejabat dan komersial utama di Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan portfolio yang merangkumi Menara CelcomDigi, Menara Shell, Platinum Sentral serta sebahagian daripada Plaza Mont Kiara.

 

Setakat akhir September 2025, kadar penghunian portfolio Sentral REIT berada pada 86%. - DagangNews.com