KUALA LUMPUR 23 Jan – Sentral REIT Management Sdn Bhd (SRM) mengumumkan prestasi kewangan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan mencatatkan hasil direalisasi sebanyak RM189.4 juta.
Pengurus bagi Sentral REIT itu berkata, walaupun berdepan dengan persekitaran pasaran pejabat yang mencabar, kumpulan tersebut berjaya mencatatkan pendapatan hartanah bersih (NPI) RM145.3 juta.
Penurunan marginal hasil sebanyak 0.9% dan NPI pula 3.4% berbanding FY24 adalah disebabkan oleh pemulihan pendapatan lebih rendah daripada Menara Shell serta kos penyelenggaraan yang tinggi.
"Justeru agihan dividen sebanyak 6.15 sen seunit diisytiharkan, yang memberikan pulangan dividen kira-kira 7.74% berdasarkan harga penutup 79 sen pada 31 Disember 2024," katanya kepada bursa.
SMRT menambah, pendapatan boleh diagihkan mencatatkan RM77.3 juta, manakala kadar penghunian portfolio meningkat kepada kira-kira 86%, berbanding kira-kira 84% pada tahun kewangan sebelumnya.
Sementara itu pengambilalihan sebahagian Arcoris Plaza di Mont’ Kiara bernilai RM70.0 juta pada 30 Disember 2025, turut meningkatkan lagi segmen runcit kepada 10% daripada keseluruhan portfolio.
Pada masa sama, langkah pelupusan aset melibatkan Wisma Sentral Inai pada harga RM135.0 juta dilihat sebagai menyediakan modal untuk pelaburan masa hadapan yang lebih menguntungkan kumpulan.
Dalam pada itu, Pengerusi SRM Tan Sri Saw Choo Boon berkata, syarikat berkenaan kekal berwaspada terhadap tekanan bekalan pasaran pejabat di sekitar Lembah Klang dan ketidaktentuan makroekonomi.
"Bagaimanapun kami ingin menegaskan bahawa Sentral REIT masih disokong oleh aset berkualiti dan keupayaan institusi terus kukuh untuk bertindak balas terhadap peluang yang muncul," kata beliau.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SRM Tay Hui Ling menjelaskan tumpuan syarikat kini mengukuhkan hasil pajakan strategik dan menetapkan objektif jangka panjang pada pertumbuhan yang mampan.
Sehingga kini, Sentral REIT memiliki sejumlah 10 bangunan yang terletak di Cyberjaya, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, dan Pulau Pinang dengan nilai keseluruhan aset mencecah RM2.6 bilion.
Laporan kewangan penuh kumpulan ini telah dimaklumkan kepada Bursa Malaysia dan boleh didapati menerusi laman web rasmi syarikat. - DagangNews.com








