Sentoria selesai kes Mahkamah Perusahaan dengan membayar Datuk Loh Yuen Tuck RM142,800 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentoria selesai kes Mahkamah Perusahaan dengan membayar Datuk Loh Yuen Tuck RM142,800

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Julai – Sentoria Group Bhd mencapai penyelesaian dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Loh Yuen Tuck, dalam satu kes di Mahkamah Perusahaan.

 

Menerusi makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan bahawa Loh telah bersetuju dengan satu award persetujuan, di mana Sentoria akan membayar sejumlah RM142,800.

 

Dengan pelaksanaan perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan melepaskan dan menamatkan segala tuntutan antara satu sama lain.

 

Makluman itu turut menyatakan kedua-dua pihak telah bersetuju secara sukarela terhadap terma penyelesaian tanpa sebarang pengakuan liabiliti, serta bersetuju untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mencemarkan atau memfitnah satu sama lain.

 

 

Datuk Loh Yuen Tuck
                          Datuk Loh Yuen Tuck

 

 

Loh telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Sentoria Group Bhd di Mahkamah Perusahaan pada Januari lalu berikutan pertikaian berhubung kontrak perkhidmatannya.

 

Sentoria sebelum ini mendakwa Loh telah memungkiri kontrak perkhidmatan apabila gagal kembali bekerja pada 1 Julai 2024, menyebabkan kontrak tersebut tidak lagi boleh diteruskan.

 

Namun begitu, Loh menafikan tuduhan itu dan mendakwa beliau telah diberhentikan secara konstruktif apabila tindakan syarikat memaksanya untuk meletakkan jawatan.

 

Sentoria menolak dakwaan tersebut, sebaliknya menegaskan berlaku pelanggaran kontrak dan salah laku, termasuk ketidakhadiran tanpa kebenaran dan dakwaan penyelewengan maklumat.

 

Pemegang saham terbesar Sentoria ialah Sentoria Capital Sdn Bhd, yang dikawal oleh Pengarah Urusan Bersama, Datuk Chan Kong San dan Datuk Gan Kim Leong, dengan pegangan sebanyak 35.8%.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang merupakan pemegang saham kedua terbesar dengan 14.29%, manakala Pengerusi Eksekutif TWL Holdings Bhd (dahulu dikenali sebagai Tiger Synergy Bhd), Tan Wei Lian, memegang 5.49% saham dalam Sentoria.

 

Syarikat itu kini telah mencetuskan kriteria Nota Amalan 17 (PN17) Bursa Malaysia selepas ekuiti pemegang sahamnya susut kepada 33% daripada modal diterbit dan dibayar sepenuhnya, berdasarkan penyata kewangan terkini bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (FY2024).

 

Sentoria mencatatkan kerugian sejak FY2019. Bagi FY2024, syarikat melaporkan kerugian bersih sebanyak RM89.04 juta dengan hasil pendapatan RM7.55 juta. - DagangNews.com