KUALA LUMPUR 10 Sept - Menteri Kabinet buat sementara waktu dilarang meninggalkan negara kecuali untuk lawatan rasmi yang telah dijadualkan.
Dalam Mesyuarat Kabinet pada hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata arahan ini bagi memastikan semua menteri berada di dalam negara sebagai persediaan menghadapi pembentangan Belanjawan 2026, Sidang Kemuncak Asean dan program-program kerajaan yang lain.
Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan perkara itu kepada media dalam sidang media pasca-Kabinet hari ini.
“Semua perjalanan ke luar negara oleh menteri dihentikan serta-merta kecuali untuk mesyuarat rasmi yang telah dijadualkan lebih awal.
“Ini bagi memastikan para menteri memberi tumpuan dan keutamaan kepada persediaan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Okt, serta Sidang Kemuncak Asean yang akan diadakan di Kuala Lumpur bulan depan. Terdapat juga pelbagai program lain yang memerlukan kehadiran para menteri Kabinet,” kata Fahmi.
Beliau turut memaklumkan Kabinet bersetuju dengan pemisahan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selepas meneliti laporan akhir Pasukan Petugas Khas Kajian Perbandingan serta pembentangan model-model pemisahan peranan tersebut.
Mengenai kempen anti-buli oleh kerajaan, Fahmi berkata Kabinet bersetuju memulakan siri jelajah (roadshow) esok di Putrajaya yang akan diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga akan mempengerusikan jawatankuasa jelajah tersebut.
“Siri jelajah ke seluruh negara ini bertujuan mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan penubuhan Tribunal Anti-Buli.
“Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan saya sendiri akan turut serta dalam jelajah anti-buli ini yang akan bermula di Putrajaya pada 11 Sept, Negeri Sembilan pada 17 Sept, Selangor pada 18 Sept dan Melaka pada 22 Sept,” kata Fahmi, yang menambah, guru-guru dan persatuan ibu bapa-guru juga akan dilibatkan.
Beliau berkata, siri jelajah ini terbuka kepada orang awam. - DagangNews.com








