KUALA LUMPUR 1 April – Alam Flora Sdn Bhd menerima 173 trak baharu daripada UD Trucks Malaysia melalui rakan pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), bagi memperkukuh kapasiti dan kecekapan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal.
Kesemua trak yang diterima terdiri daripada model tugas sederhana UD Croner dan tugas ringan UD Kuzer.
Penyerahan trak-trak ini bertujuan untuk mengembangkan lagi kapasiti operasi Alam Flora di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta negeri Pahang.
Penyerahannya diadakan secara berperingkat dengan penyerahan lima trak terakhir diadakan di premis Terberg Malaysia di Balakong, Selangor.
Pengarah Wilayah UD Trucks untuk Asia Tenggara dan Asia Timur, Keiichiro Ochiai berkata kerjasama antara UD Trucks dan TCIE membolehkan mereka memenuhi komitmen kepada pelanggan dengan lebih berkesan.
“Keyakinan Alam Flora terhadap trak UD mencerminkan reputasi dan kebolehpercayaan syarikat di pasaran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata pihaknya terus komited dalam memastikan pengurusan sisa pepejal yang efisien dan menjaga kesihatan awam.
“Kesemua trak ini telah ditempatkan di pelbagai kawasan konsesi dan pasukan kami amat berpuas hati dengan prestasi, ketahanan dan kecekapan bahan api trak tersebut.
“Kualiti trak yang boleh dipercayai serta sokongan selepas jualan yang kukuh daripada TCIE adalah faktor utama dalam keputusan kami membeli jumlah trak yang besar ini.
“Sokongan ini termasuk pakej penyelenggaraan harga tetap, alat ganti tulen, serta perkhidmatan bantuan 24 jam sehari,” katanya.
UD Croner dilengkapi enjin enam silinder yang mampu menampung beban berat dan perjalanan jauh, manakala transmisi automatiknya dioptimumkan untuk logistik dan pemadat sisa.
UD Kuzer pula sesuai untuk operasi dalam bandar dengan teknologi canggih yang meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Trak-trak ini dipasang dengan badan Olympus terbaharu dari Terberg Malaysia, lengkap dengan teknologi pengangkat tong dan pemadatan sisa muat belakang. Langkah ini memastikan pengutipan sisa pepejal dijalankan dengan lebih efisien dan sistematik.
TCIE berkata penyerahan 173 trak ini menandakan satu langkah penting dalam kerjasama mereka dengan Alam Flora untuk memperkukuh pengurusan alam sekitar di negara ini. Syarikat itu komited menyediakan sokongan berterusan bagi memastikan operasi pembersihan awam berjalan lancar dan berkesan. - DagangNews.com








