Sektor tenaga hijau mampu wujudkan 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu di Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor tenaga hijau mampu wujudkan 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu di Terengganu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 18 Ogos – Pelan Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (T-Next) mampu mewujudkan antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga hijau menjelang tahun 2030.

 

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata, industri midstream dalam sektor tenaga hijau memerlukan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

 

“Sekiranya kita bergantung kepada peluang pekerjaan hanya dari jualan tenaga elektrik kepada grid, jumlahnya sangat kecil kerana satu ladang solar mungkin memerlukan tiga hingga empat orang pekerja sahaja.

 

“Namun, apabila kita perluaskan skop ini kepada ‘midstream’ tenaga hijau dan sektor berkaitan lain, unjuran kita menunjukkan sehingga 2,000 hingga 3,000 pekerjaan baharu dapat diwujudkan menjelang 2030,” katanya.

 

Majlis pelancaran TNEXT disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini, baru-baru ini.

 

Ketika ini, beberapa projek utama termasuk Projek Loji Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) Tasik Kenyir, loji hidrogen Petronas dan Taman Perindustrian Kemaman bagi industri hiliran CCUS (teknologi Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon) serta projek perintis kincir angin di Kemaman sedang dilaksanakan.

 

Selain itu, Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) turut memanfaatkan aset negeri seperti jaringan sungai, empangan dan potensi radiasi solar bagi menjana elektrik hijau premium yang akan menjadikan Terengganu sebagai penyumbang tenaga hijau utama negara.

 

Semua projek itu mendorong potensi Terengganu untuk menjana 4 Gigawatt (GW) tenaga hijau menjelang 2030 yang akan menyumbang kira-kira 20% daripada kapasiti penjanaan tenaga hijau negara.

 

Mengulas lanjut, Dr. Mohd Hanif berkata, manfaat peluang pekerjaan hasil pelaksanaan semua projek itu akan dapat dinikmati dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

 

“Buat masa ini, pembinaan infrastruktur masih sedang berjalan dan apabila siap kelak, lebih ramai mendapat peluang pekerjaan terutama generasi muda dan pekerja mahir.

 

“Terengganu juga sudah berbincang dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia supaya supaya projek-projek tenaga di Terengganu mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga terdiri dari anak tempatan,” katanya. - DagangNews.com