KUALA LUMPUR 12 Dis – Sektor bahan binaan Malaysia dijangka memasuki fasa pertumbuhan kukuh pada 2026, dipacu oleh permintaan yang meningkat terhadap simen dan besi berikutan pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pembangunan pusat data serta projek industri berskala besar, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, harga bahan binaan dijangka terus meningkat, antaranya disebabkan oleh kenaikan kos pengangkutan.
Katanya, perkembangan ini dijangka memberi kelebihan kepada pemain industri yang mempunyai rangkaian logistik cekap dan lokasi kilang strategik berhampiran kawasan permintaan tinggi seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
CIMB Securities turut menarik perhatian, caj pengangkutan dan harga produk kuari melonjak antara 15% hingga 40% sejak November 2025, selepas penguatkuasaan peraturan baharu berkaitan muatan berlebihan.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan teras sektor bahan binaan meningkat mendadak kepada 68% pada 2026, sebelum sederhana kepada 16% pada 2027,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut CIMB Securities, pertumbuhan tahun ini pula dianggarkan sekitar 15%.
Bagi sektor besi, syarikat dijangka memindahkan peningkatan kos logistik kepada pelanggan memandangkan margin keuntungan yang tipis akibat harga besi global yang lemah.
Dengan pelaksanaan cukai karbon yang semakin hampir, CIMB Securities percaya syarikat besi yang beralih kepada teknologi besi hijau akan berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk merebut permintaan baharu, termasuk potensi “premium besi hijau” daripada produk besi rendah pelepasan di Malaysia dan Singapura — meskipun ia memerlukan pelaburan awal yang besar. - DagangNews.com








