KUALA LUMPUR 30 Mac - Kitaran kenaikan global sektor semikonduktor dijangka kekal utuh dengan nilai pasaran berpotensi menghampiri AS$1 trilion menjelang 2026, disokong oleh permintaan kukuh daripada teknologi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), 5G serta peningkatan peranti generasi baharu.
Namun begitu, firma penyelidikan Kenanga Research berpandangan keuntungan dalam sektor ini kini semakin terhad, terutamanya apabila kekangan bekalan memori yang dipacu oleh AI mula memberi kelebihan kepada segmen infrastruktur AI berbanding pasaran bukan AI.
Katanya, keadaan ini didorong oleh pengetatan bekalan DRAM dan NAND yang meningkatkan kos bagi pelbagai segmen termasuk telefon pintar, komputer peribadi, kenderaan dan produk elektronik lain.
"Walaupun permintaan berasaskan AI terus menyokong perbelanjaan peralatan pembuatan wafer (WFE) yang dipacu memori — dan dijangka mengatasi segmen lain — ia turut menimbulkan risiko dari segi kemampuan serta tekanan margin dalam keseluruhan rantaian teknologi.," katanya dalam nota kajian.
Kenanga berkata, dalam masa sama, perkembangan aplikasi AI kini beralih daripada sekadar pembantu digital dan “copilot” kepada sistem berasaskan ejen (agentic AI), sekali gus memperluaskan kitaran perbelanjaan daripada fasa latihan model kepada pelaksanaan dalam dunia sebenar.
Tumpuan industri juga dilihat semakin beralih kepada aspek penjanaan pendapatan berbanding peningkatan keupayaan teknologi semata-mata.
Seiring dengan peningkatan risiko luaran termasuk kekangan bekalan memori global, kerapuhan rantaian bekalan serta tekanan kos yang berterusan, firma penyelidikan itu telah menurunkan penarafan sektor semikonduktor kepada ‘neutral’ daripada ‘overweight’.
Bagaimanapun, syarikat dalam segmen “front-end” masih menjadi pilihan berikutan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh.
Antara pilihan utama termasuk KGB dengan harga sasaran RM6.15 dan UWC dengan harga sasaran RM4.70, selain INFOMINA yang turut disenarai sebagai saham pilihan berikutan potensi pendapatan berasaskan AI yang berskala dan berulang. - DagangNews.com








