KUALA LUMPUR 31 Okt – Penyambungan semula perdagangan kacang soya antara Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka tidak memberi kesan ketara kepada asas pasaran minyak sawit mentah (CPO) buat masa ini, menurut TA Securities.
Firma pelaburan itu berkata, walaupun peningkatan perdagangan tersebut dijangka menambah bekalan minyak kacang soya dan hasil sampingan daripada pemprosesan kacang soya, yang secara teorinya boleh menekan permintaan terhadap CPO sebagai minyak sayuran alternatif, faktor sokongan dalaman dijangka terus menstabilkan harga komoditi itu.
Menurutnya, Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) menjangkakan pengeluaran minyak sawit negara itu meningkat sebanyak 10% pada tahun 2025 dan 5% pada tahun 2026.
Namun, TA Securities berpendapat risiko penurunan harga akan dihalang oleh permintaan kukuh biodiesel di bawah mandat B50 Indonesia, kelembapan bermusim semasa musim monsun (November hingga Mac), serta paras inventori yang rendah di Malaysia.
“Melainkan China benar-benar meningkatkan import kacang soya dari AS secara besar-besaran, kesan kepada pasaran minyak sawit dijangka kekal terhad,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Antara faktor utama yang akan dipantau termasuk skala pembelian susulan oleh China, perkembangan musim penanaman di Brazil, serta perubahan dalam keadaan kecairan global.
Sehubungan itu TA Securities mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap sektor perladangan dengan unjuran harga purata CPO tidak berubah pada RM4,200 setan bagi tahun 2025.
Dalam senarai saham pilihan, TA Securities mengekalkan saranan BELI terhadap United Malacca Bhd (UMCCA) dengan harga sasaran RM6.29, serta PEGANG untuk Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) pada RM21.21.
Sementara itu, Sime Darby Plantation Bhd (SDG), IOI Corporation Bhd (IOICORP) dan Kim Loong Resources Bhd (KIML) terus diklasifikasikan sebagai JUAL.
“TSH Resources Bhd (TSH) pula telah diturunkan penarafannya kepada JUAL daripada BELI selepas lonjakan harga sahamnya baru-baru ini, yang berpotensi membawa risiko penurunan pada paras semasa,” tambah laporan itu. - DagangNews.com








