KUALA LUMPUR 9 Jan — Sektor Real Estate Investment Trust (REIT) Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan sekitar 9% tahun ke tahun (YoY) bagi tahun kalendar 2026 (CY26), dipacu terutamanya oleh sektor runcit dan hospitaliti, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Kata firma penyelidikan itu, kadar penghunian yang sihat, kenaikan sewa yang positif dan pengurusan imbangan akaun yang berhemah terus menyokong keterlihatan hasil sektor REIT, walaupun pertumbuhan pendapatan dijangka kembali normal selepas prestasi kukuh pada 2025.
Sehubungan itu firma berkenaan mengekalkan pandangan POSITIF terhadap sektor REIT Malaysia dengan memilih Pavilion REIT dan CLMT sebagai pilihan utama pelabur.
"Walaupun begitu, risiko utama yang perlu diperhatikan adalah ketidakpastian mengenai lanjutan konsesi cukai ke atas dividen (WHT).
"Sekiranya konsesi ini tidak diperbaharui, hasil selepas cukai dijangka berpotensi tertekan antara 50 hingga 100 mata asas," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, sektor runcit dan hospitaliti dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan sektor REIT disokong oleh aliran pengunjung yang berterusan, inisiatif penambahbaikan harta (AEIs) serta kitaran pemulihan pelancongan di bawah Visit Malaysia 2026.
Katanya, aset industri pula terus menawarkan pendapatan stabil dengan tempoh sewa yang panjang, selain menyumbang kepada kepelbagaian portfolio, manakala segmen pejabat menghadapi cabaran struktur berikutan lebihan bekalan.
"Prestasi segmen pejabat kini semakin bergantung kepada kualiti aset, profil penyewa dan struktur sewa," tambah firma itu.
Maybank IB berkata, dalam keseluruhan sektor REIT, strategi utama untuk mengekalkan pertumbuhan dividen sesaham (DPU) jangka sederhana ialah melalui penyegaran portfolio secara aktif, termasuk AEIs, pemerolehan terpilih serta kitar semula aset.
“Pendekatan ini membolehkan pengurus REIT mengekalkan keterlihatan hasil yang tinggi sambil memastikan portfolio terus relevan dan menarik bagi pelabur,” katanya. - DagangNews.com








