KUALA LUMPUR 30 Mac – Sektor produk pengguna masih menunjukkan daya tahan dalam tempoh terdekat, namun tekanan inflasi berpunca daripada harga minyak global kekal menjadi kebimbangan.
RHB Research dalam nota analisisnya hari ini berkata, risiko konflik geopolitik disebabkan perang di Timur Tengah turut boleh menjejaskan momentum perbelanjaan pengguna tempatan pada kektika ini.
Justeru firma tersebut mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor itu, dengan pilihan utama terdiri daripada Nestlé (Malaysia), MR DIY Group, EcoShop Marketing, Farm Fresh dan AEON Co (M).
"Saham berteraskan fokus domestik terus menjadi pilihan sepanjang ketidaktentuan global meningkat, memandangkan prestasi syarikat-syarikat ini lebih terlindung daripada risiko luaran," jelasnya.
Nestlé dilihat sebagai saham defensif bermutu tinggi dengan kekuatan jenama, manakala EcoShop dan MR DIY berpotensi meraih manfaat daripada trend pengguna yang lebih berhati-hati mencari nilai.
Selain itu kata RHB Research, Farm Fresh dijangka mencatat pertumbuhan lebih kukuh disokong operasi loji ais krim baharu, sementara AEON pula diramal pulih daripada tekanan kerugian permulaan.
Dari segi prestasi tambahnya, keputusan kewangan sektor produk pengguna bagi suku keempat FY25 secara keseluruhan adalah sejajar jangkaan, dengan sembilan daripada 17 syarikat memenuhi unjuran.
"Pengembangan margin dilihat meluas, didorong oleh peningkatan skala operasi, trend kadar tukaran asing yang memihak, kos input yang semakin reda serta pelarasan harga oleh syarikat," tambahnya.

Pada tempoh sama, firma penyelidikan berkenaan menurunkan penarafan Padini disebabkan oleh faktor perkembangan momentum jualan yang masih lemah dan turut menjejaskan prestasi tahun kewangan 2025.
Mengulas trend semasa, RHB Research berkata, perbelanjaan pengguna meningkat menjelang akhir tahun, didorong isu bermusim seperti cuti persekolahan, yang mencerminkan sentimen pengguna semakin pulih.
Malah jelasnya, beberapa pemain barangan bukan keperluan melaporkan peningkatan jualan sejak awal 2026, disokong keadaan makroekonomi yang lebih kukuh, serta pertumbuhan pendapatan boleh guna.
"Pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang asing di pasaran antarabangsa serta limpahan positif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) turut membantu margin syarikat-syarikat berkenaan,” ujarnya.
Secara keseluruhan, pendapatan dan keuntungan sektor pengguna (tidak termasuk Guan Chong) masing-masing meningkat 6% dan 11% tahun ke tahun (YoY) bagi FY25, berbanding hanya 3% dan 5% pada FY24.
Dalam pada itu, RHB Research berpandangan sektor ini akan terus mendapat sokongan daripada dasar kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bahan api bersasar untuk petrol RON95.
Di bawah pelaksanaan skim BUDI95, walaupun kuota bulanan dikurangkan kepada 200 liter, kira-kira 90% pengguna berada di bawah paras itu, sekali gus mengehadkan kesan langsung kepada pasaran massa.
"Bagaimanapun, kami mengingatkan risiko penurunan masih ada, jika harga minyak tinggi, lonjakan harga komoditi atau tekanan inflasi naik akibat konflik yang berlarutan di Timur Tengah," katanya.
Setakat ini, firma itu tidak menjangkakan perubahan dasar dalam jangka masa terdekat yang boleh mengganggu corak penggunaan, tetapi kekal berwaspada terhadap risiko luaran. - DagangNews.com








