Sektor perkilangan dijangka pulih perlahan dalam masa terdekat - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perkilangan dijangka pulih perlahan dalam masa terdekat - MBSB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov – Sektor perkilangan di Malaysia dijangka kembali pulih secara perlahan meskipun momentum pengeluaran merosot pada Oktober, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek lebih positif itu didorong jangkaan pemulihan pesanan baharu dalam beberapa bulan akan datang seiring peningkatan aktiviti ekonomi global secara berperingkat.

 

“Aktiviti pembuatan Malaysia terus menunjukkan penyusutan pada Oktober 2025 apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) S&P Global Malaysia mencatat bacaan 49.5, turun sedikit daripada 49.8 pada September. 

 

“Namun, bacaan PMI yang lebih rendah ini turut memberi isyarat kepada kemungkinan pertumbuhan pengeluaran perindustrian (IPI) menjadi sederhana, menunjukkan momentum yang lebih perlahan beberapa bulan akan datang,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya. 

 

Menurut firma itu, sekatan permintaan global yang berlanjutan serta kelemahan pesanan eksport menjadi faktor utama yang terus menekan prestasi sektor, meskipun beberapa indikator pengeluaran sebelum ini menunjukkan peningkatan secara berperingkat.

 

“Pesanan baharu yang kembali susut selepas tiga bulan peningkatan kecil, terutama disebabkan kejatuhan permintaan luar negara, telah membawa kepada penguncupan output pada kadar terpantas dalam tempoh lima bulan. 

 

“Syarikat dalam sektor perkilangan turut meneruskan langkah mengurangkan tenaga kerja di tengah-tengah keadaan permintaan yang mencabar, walaupun terdapat pelaksanaan strategik untuk melangsaikan kerja tertunggak pada kadar terpantas sejak Februari 2025.

 

“Dari segi operasi, aktiviti pembelian berkembang pada kadar paling perlahan dalam empat bulan dengan tahap inventori turut menurun, mencerminkan pendekatan berhati-hati pengeluar terhadap pengurusan kos dan stok,” katanya.

 

Masa penghantaran yang lebih panjang untuk bulan kedua berturut-turut, dipengaruhi oleh kekangan logistik global dan kekurangan bahan, turut menjejaskan keupayaan pengeluar untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

 

MBSB Research berkata, meskipun kos input terus meningkat, syarikat memilih untuk menurunkan harga jualan buat kali pertama dalam tempoh enam bulan bagi merangsang permintaan, satu indikator bahawa tekanan harga mungkin beralih kepada margin keuntungan dalam jangka masa terdekat.

 

“Walaupun berdepan cabaran, sentimen perniagaan terus bertambah baik, dengan keyakinan meningkat ke paras tertinggi sejak April 2023.

 

“Data sebelum ini menunjukkan pertumbuhan IPI meningkat kepada 4.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2025 daripada 4.2 peratus pada Julai, disokong peningkatan eksport yang melonjak kepada 12.2 peratus pada September berbanding 1.9 peratus pada Ogos. 

 

“Peningkatan eksport itu sebahagiannya dipacu aktiviti pembelian lebih awal oleh sektor teknologi global menjelang potensi pengenaan tarif semikonduktor,” katanya.

 

Bagaimanapun, MBSB Research mengingatkan bahawa bacaan PMI Oktober menandakan peningkatan industri mungkin memasuki fasa yang lebih sederhana selepas lonjakan sementara, selari dengan trend penyusutan prestasi pembuatan serantau. - DagangNews.com