Sektor pembungkusan plastik terus tertekan akibat ketidaktentuan perdagangan global, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembungkusan plastik terus tertekan akibat ketidaktentuan perdagangan global, kata Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Jan — Sektor pembungkusan plastik dijangka terus berdepan tekanan hasil sepanjang 2026, dipengaruhi terutamanya faktor ketidaktentuan perdagangan global, menurut Kenanga Research.


Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata, pemain sektor berkenaan turut berdepan cabaran persaingan sengit industri, pengukuhan ringgit serta kelemahan secara berterusan harga resin.


Tambahnya, walaupun permintaan bagi produk pembungkusan premium berasaskan pengguna akhir kekal memberangsangkan, harga jualan purata (ASP) masih tertekan susulan penurunan harga resin.


"Keadaan ini sekali gus menjejaskan margin keuntungan, dan menyebabkan keuntungan sebelum cukai yang lebih lemah, meskipun hasil agregat kekal relatif stabil,” kata Kenanga dalam satu notanya.


Sehubungan itu, firma berkenaan masih mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas sektor tersebut selepas mengambil kira prestasi kewangan terkini dan maklum balas pemain industri yang terlibat.


Bagaimanapun dari sudut perdagangan global, firma itu menjelaskan yang isu kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) dijangka hanya memberi kesan langsung secara terhad kepada pemain tempatan sendiri.


Situasi itu jelas Kenanga, memandangkan eksport ke pasaran AS menyumbang kurang daripada 10% hasil sektor tersebut, namun ketegangan perdagangan secara menyeluruh berpotensi menjejaskan permintaan.


"Ini disebabkan sebahagian besar produk pembungkusan plastik yang dikeluarkan syarikat Malaysia banyak digunakan dalam perdagangan rentas sempadan dan perniagaan-ke-perniagaan (B2B)," katanya.


Dalam kalangan syarikat tersenarai, Scientex Berhad dilihat menonjol sebagai satu-satunya pemain memiliki kilang pembuatan di Arizona, AS, yang mencatat peningkatan tempahan serta potensi ASP.


Kenanga turut menekankan isu persaingan industri semakin sengit sejak 2024 akibat lebihan stok, dan keadaan ini diburukkan lagi apabila pengeluar masih lagi mengekalkan barisan pengeluaran lama.


Tambah Kenanga, keadaan tersebut disebabkan kebanyakan syarikat menaik taraf fasiliti masing-masing kepada kemudahan baharu, yang membolehkan mereka menawarkan harga marginal yang agresif.


"Pengalihan permintaan global daripada China menyebabkan pengeluar China melonggokkan bekalan ke pasaran Asia Tenggara pada harga lebih rendah, dan meningkatkan tekanan persaingan," katanya.


Dari sudut mata wang pula, purata kadar pertukaran mengukuh kepada RM4.33 berbanding AS$1 dalam sembilan bulan pertama 2025, memberi tekanan pertukaran asing jangka pendek kepada pemain.


Ringgit jelas Kenanga, dijangka terus mengukuh kepada RM4.05 hingga RM3.95 pada 2026, dengan setiap perubahan 1% kadar pertukaran berpotensi memberi kesan 3% kepada keuntungan sektor itu.


Dalam perkembangan lain katanya, harga resin dilaporkan susut antara 10% hingga 15% tahun ke tahun (YoY) pada separuh kedua 2025 dan dijangka kekal lemah untuk tempoh 12 bulan yang akan datang.


"Ini sejajar unjuran harga minyak mentah global yang lembap dengan kami menurunkan unjuran hasil FY26 bagi Tomypak Holdings Bhd sebanyak 4%, manakala SLP Resources Bhd susut 8%," tambah Kenanga.


Firma itu juga mengurangkan harga sasaran Tomypak kepada RM1.29 dan SLP kepada 81 sen, sementara unjuran pendapatan Scientex dikekalkan berikutan potensi peningkatan daripada operasi di AS.


Bagaimanapun, firma itu menyatakan isu pemasangan panel solar melibatkan fasiliti Scientex dan BP Plastics Holding Bhd dijangka menyumbang penjimatan kos tenaga sekitar 10%. - DagangNews.com