Sektor pembuatan Malaysia dijangka terus pulih dengan KDNK 4% pada 4QFY25 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia dijangka terus pulih dengan KDNK 4% pada 4QFY25 - TA Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sektor pembuatan Malaysia dijangka 4%  bagi suku keempat 2025 (4Q25), selaras dengan perkembangan terbaru sektor tersebut, menurut TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan ramalan pertumbuhan KDNK keseluruhan Malaysia pada 4.7% bagi tahun penuh 2025, menunjukkan asas ekonomi yang kukuh walaupun pemulihan pembuatan masih berperingkat.

 

Menurut TA Securities, peningkatan keyakinan perniagaan pada November 2025 memberi tanda positif kepada momentum sektor pembuatan menjelang 2026. 

 

“Banyak syarikat lebih optimis terhadap pelancaran produk baharu, rancangan pengembangan dan permintaan pelanggan yang meningkat.

 

“Momentum ini turut mendorong pengambilan pekerja pada kadar terpantas sejak September 2022, berbanding empat bulan pengurangan pekerjaan sebelum ini,” kata firma tersebut.

 

Namun, TA Securities menegaskan bahawa kesinambungan pemulihan bergantung kepada pengurusan risiko luaran dan dalaman, termasuk pertumbuhan lebih perlahan di pasaran utama seperti AS, ketegangan geopolitik, ketidakstabilan rantaian bekalan, kos input meningkat dan turun naik mata wang.

 

Selain itu, kelewatan pelaksanaan pelaburan juga boleh menjejaskan momentum pertumbuhan.

 

TA Securities menekankan bahawa pemantauan berterusan terhadap pasaran luaran dan kos operasi akan menjadi faktor penting untuk memastikan pertumbuhan berterusan sektor pembuatan.

 

“Peningkatan keyakinan dan pengambilan pekerja menunjukkan bahawa sektor pembuatan berada di landasan yang betul untuk menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhan negara,” katanya.

 

t

 

Baru-baru ini, S&P Global Malaysia Manufacturing PMI melaporkan aliran pesanan baharu meningkat untuk kali ketiga dalam empat bulan pada November 2025.

 

Laporan itu menunjukkan pengurangan jualan eksport pula lebih sederhana, mencerminkan permintaan luaran yang semakin stabil, manakala PMI keseluruhan meningkat kepada 50.1 daripada 49.5 pada Oktober, melepasi ambang neutral 50 mata buat pertama kali sejak Mei 2024.

 

“Peningkatan ini dipacu oleh pesanan baharu, mencapai tahap tertinggi dalam lebih tiga setengah tahun, dengan responden menyatakan keyakinan pelanggan, pelancaran produk baharu, dan sentimen pasaran yang meningkat sebagai faktor utama.

 

“Permintaan luar untuk barangan buatan Malaysia juga bergerak lebih stabil, walaupun pengeluaran masih dikurangkan secara sederhana oleh beberapa syarikat yang beroperasi di bawah kapasiti bagi mengurus kos selepas tempoh permintaan lemah.

 

“Beberapa pengeluar menambah stok barang siap, menyebabkan inventori meningkat buat pertama kali dalam 41 bulan, walaupun kenaikan masih bersifat sederhana,” menurut laporan itu.

 

Keadaan permintaan yang lebih baik mendorong peningkatan pembelian input, sementara tahap pekerjaan meningkat untuk pertama kali dalam lima bulan, menandakan langkah awal membina semula kapasiti pengeluaran.

 

Inflasi kos input meningkat untuk bulan kedua berturut-turut, dengan harga bahan mentah, kos rantaian bekalan, dan cukai menyumbang kepada kenaikan kos operasi. 

 

Pengeluar menaikkan harga output buat pertama kali dalam beberapa bulan, dengan kadar tertinggi dalam 15 bulan, menunjukkan kesediaan syarikat memindahkan tekanan kos kepada pelanggan. - DagangNews.com