Sektor pembuatan catat jualan RM168.3 bilion pada Ogos, meningkat 2.7 peratus – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan catat jualan RM168.3 bilion pada Ogos, meningkat 2.7 peratus – DOSM

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Okt – Sektor pembuatan negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM168.3 bilion pada Ogos 2025, meningkat 2.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh sub-sektor makanan, minuman dan tembakau yang mencatat peningkatan 9.6 peratus pada Ogos 2025 (Julai 2025: 8.9 peratus).

 

Pertumbuhan ini turut disokong oleh sub-sektor produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi, masing-masing meningkat 3.7 peratus (Julai: 6.9%) dan 3.3 peratus (Julai: 3.8%).

 

“Dalam tempoh sama, nilai jualan meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM168.3 bilion, berbanding RM162.5 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan media.

 

Mohd Uzir berkata, nilai jualan dalam industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.2 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan meningkat 2.0 peratus pada Ogos 2025 (Julai: 2.7%).

 

Pertumbuhan ini dipacu oleh pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan: +8.2% (Julai: 6.3%), pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal: +3.8% (Julai: 6.9%) dan pembuatan mesin dan peralatan lain (n.e.c): +4.9% (Julai: 12.4%)

 

Secara bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.2 peratus, berbanding penurunan -0.3% pada Julai 2025.

 

Sementara itu, industri berorientasikan domestik turut mencatat pertumbuhan 4.5 peratus pada Ogos 2025 (Julai: 5.6%).

 

Prestasi ini dipacu oleh pembuatan produk pemprosesan makanan: +11.6% (Julai: 12.7%), pembuatan logam asas: +4.3% dan pembuatan produk logam fabrikasi (kecuali mesin & peralatan): +4.6%.

 

Berbanding bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik meningkat sebanyak 1.7 peratus. - DagangNews.com