KUALA LUMPUR 11 Julai — Sektor pembinaan diramal menerima aliran kemasukan pelbagai kontrak baharu secara mampan pada tempoh separuh kedua 2025, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif berkenaan disokong kukuh menerusi banyak projek pembangunan pusat data (DC), infrastruktur awam dan sentimen baik daripada sektor swasta.
Tambahnya, ia mendapati berdasarkan tinjauan secara umum, kontrak bertemakan DC dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) masih memiliki ruang untuk diteroka syarikat-syarikat pembinaan.
"Pada pandangan kami, kontraktor secara am masih boleh menambah buku tempahan daripada segmen DC serta senarai baharu projek infrastruktur kerajaan," kata HLIB Research dalam satu nota kajiannya.
Ia turut berkeyakinan tinggi dengan prospek pertumbuhan sektor pembinaan di seluruh negara yang menurut penilaian pada tahap semasa masih lagi memberi ruang untuk peningkatan aktif berikutnya.
Bagaimanapun firma tersebut turut memberi amaran risiko penurunan yang patut diberikan perhatian pemain industri berkenaan antaranya sekatan cip kecerdasan buatan (AI) oleh Amerika Syarikat (AS).
Tindakan dikenakan itu kata HLIB Research, berisiko melemahkan pembangunan DC di Malaysia selain kebimbangan pemaju ke atas pasaran hartanah yang lebih perlahan jika ekonomi negara meleset.
"Di samping itu, kami memahami kekhuatiran banyak syarikat pembinaan daripada kesan rasionalisasi subsidi bahan api apabila mula dilaksanakan oleh kerajaan dalam masa yang terdekat," katanya.
Setakat ini tambah firma berkenaan, jumlah keseluruhan kontrak yang diberikan sudah mencecah RM28.9 bilion dan telah berjaya menjana pertumbuhan sebanyak 39.5 peratus tahun ke tahun.
Justeru kata HLIB Research, berdasarkan situasi semasa, ia mengekalkan penarafan sektor pembinaan sebagai 'overweight' dengan optimis kepada kemajuan dijangka pada separuh kedua tahun ini.
Pilihan utama firma tersebut ialah Gamuda Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM5.50 sesaham serta IJM Berhad juga dengan saranan 'beli' dan TP RM2.96 sesaham. - DagangNews.com








