Sektor pembinaan dijangka terus kukuh separuh kedua 2025 - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan dijangka terus kukuh separuh kedua 2025 - Kenanga Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Sektor pembinaan dijangka terus mencatat prestasi memberangsangkan pada separuh kedua tahun ini yang disokong oleh projek infrastruktur awam dan pembangunan sektor swasta, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sentimen dalam sektor pembinaan mula pulih dengan kukuh pada suku kedua selepas permulaan yang agak perlahan pada awal tahun.

 

"Walaupun pelaksanaan projek MRT3 di Lembah Klang masih belum pasti, beberapa projek besar lain masih sedang berjalan seperti Pakej 2 dan 3 LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang serta kerja naik taraf Lapangan Terbang Pulau Pinang.

 

"Antara projek penting lain termasuk fasa kedua Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR), pelan naik taraf Lapangan Terbang Subang dan projek transit Johor.

 

"Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura juga dilihat sebagai pemangkin jangka sederhana kepada sektor," kata firma tersebut dalam satu nota kajiannya.

 

Selain pusat data, pembangunan industri seperti loji semikonduktor juga dijangka menyokong pertumbuhan sektor swasta.

 

Firma itu juga mengekalkan unjuran nilai anugerah kontrak tahunan sekitar RM180 bilion bagi tempoh 2024 hingga 2026.

 

Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, sebanyak RM75.5 bilion kontrak utama telah dianugerahkan setakat akhir Mei lalu berbanding jumlah keseluruhan RM226.5 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor pembinaan.

 

Semua saham dalam liputannya diberi penarafan 'outperform', kecuali Sunway Construction Group Bhd yang menerima penarafan 'market perform' dengan harga sasaran RM5.94 sesaham.

 

Pilihan utama mereka ialah Gamuda Bhd dan IJM Corp Bhd memandangkan syarikat berkapital besar itu cenderung mengungguli pasaran dalam kitaran menaik sektor.

 

Gamuda disokong oleh peranannya dalam projek LRT Pulau Pinang, kejayaan memperoleh projek luar negara, unjuran pendapatan kukuh hasil buku pesanan RM37 bilion serta peluasan ke sektor tenaga boleh baharu.

 

IJM pula dijangka mendapat manfaat daripada penglibatan semula dalam projek LRT Pulau Pinang, disokong oleh buku pesanan domestik RM6.6 bilion, jualan hartanah baharu RM1.5 bilion serta kepentingan strategik Pelabuhan Kuantan dalam perdagangan Pantai Timur.

 

Penjualan aset lebuh raya IJM berpotensi memperkukuh kedudukan kewangan dan menjadi pemangkin penilaian semula syarikat.

 

Bagi saham pertengahan, Kerjaya Prospek Group Bhd dinilai “outperform” dengan harga sasaran RM2.30, menawarkan hasil dividen menarik melebihi 5%.

 

Sementara itu, Kimlun Corp Bhd (outperform) dengan harga sasaran RM1.39, dijangka mendapat manfaat daripada pelancaran projek infrastruktur awam akan datang.

 

Penyenaraian Paradigm Real Estate Investment Trust turut berpotensi meningkatkan penilaian semula WCT Holdings Bhd yang menerima penarafan 'outperform' dan harga sasaran RM1.25.

 

Kenanga turut menjangka perubahan tarif elektrik baru-baru ini tidak memberi kesan besar kepada pembina, memandangkan pengguna telah membayar pada harga pasaran.

 

Langkah baharu mewajibkan caruman KWSP bagi pekerja asing juga dijangka hanya memberi kesan kecil, iaitu kurang daripada 1% kepada pendapatan kontraktor. - DagangNews.com