Sektor insurans dijangka kekal positif walaupun 2H25 diramal mencabar - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor insurans dijangka kekal positif walaupun 2H25 diramal mencabar - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Sept – Sektor insurans dijangka berdepan persekitaran mencabar pada separuh kedua tahun 2025 (2HCY25) susulan pertumbuhan yang perlahan dan peningkatan kos tuntutan, namun penganalisis kekal positif terhadap prospek jangka panjang industri berkenaan.

 

MBSB Research menjangkakan faktor-faktor seperti penilaian saham yang murah, pulangan dividen menarik dan potensi lonjakan pendapatan pelaburan akan memacu prospek jangka panjang industri untuk kekal positif.

 

Kata firma itu, walaupun pertumbuhan perlahan, margin yang lebih ketat dan persaingan yang semakin sengit mengekang prestasi jangka pendek, beberapa faktor positif dijangka memberi penampan, khususnya penurunan hasil sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) yang berpotensi menyumbang kepada keuntungan pelaburan luar biasa.

 

“Sebahagian syarikat insurans dijangka menghadapi tekanan dalam 2HCY25, terutamanya dalam pengurusan kos tuntutan dan persaingan, namun kami kekal dengan saranan positif terhadap sektor ini,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan.

 

Sehubungan itu firma berkenaan menamakan Allianz Malaysia Bhd (ALLZ) dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMB) sebagai pilihan utama dengan saranan BELI dengan harga sasaran RM23.21 (ALLZ) dan TP RM3.70 untuk STMB.

 

alllz

 

"Kedua-dua syarikat itu menunjukkan pengurusan risiko dan strategi pertumbuhan yang kukuh, dengan potensi pulangan dividen tertinggi dalam sektor kewangan," katanya.

 

MBSB berkata, sektor insurans dijangka berdepan beberapa cabaran struktural dan makroekonomi dalam 2H25, termasuk pelaksanaan SST yang akan memberi kesan ketara kepada penyedia insurans hayat dan keluarga. 

 

STMB mengunjurkan impak sekitar RM20 juta setahun, manakala ALLZ menjangkakan impak terhad disebabkan pendedahan bancassurance yang rendah. Syarikat insurans am dijangka kurang terkesan kerana layak mendapat pengecualian B2B.

 

Selain itu ketibaan musim monsun meningkatkan risiko banjir dan kos tuntutan insurans. Terdapat juga kebimbangan terhadap kemungkinan gempa bumi.

 

Persaingan semakin memuncak dalam segmen insurans am apabila syarikat-syarikat bersaing merebut semula bahagian pasaran yang dikuasai ALLZ sejak awal tahun.

 

Walaupun kekal sebagai risiko, langkah pengawalan kos rawatan mulai menunjukkan hasil. ALLZ dilaporkan mencatat nisbah kerugian kesihatan yang jauh lebih rendah daripada purata industri sepanjang 1H25.

 

MBSB menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih sederhana dalam 2H25 boleh menjejaskan permintaan premium baharu. 

 

Namun begitu, pelbagai inisiatif pengurusan kos dan strategi digital yang dilaksanakan oleh pemain utama diyakini dapat mengurangkan kesan tersebut.

 

Tiga syarikat utama di bawah liputan MBSB ketika ini mencatatkan hasil dividen melebihi 5%, menjadikan sektor ini antara yang paling menarik untuk pelabur pendapatan.

 

Selain itu, saham-saham insurans Malaysia dilihat masih berdagang pada diskaun ketara berbanding rakan serantau, menawarkan peluang harganya untuk pulih seiring penstabilan ekonomi dan sektor.

 

Penurunan hasil MGS dijangka mencetuskan keuntungan pelaburan luar biasa (investment windfall) bagi syarikat insurans – sekali gus mengimbangi tekanan margin dan pertumbuhan premium yang lebih perlahan.

 

“Lonjakan ini penting dalam konteks margin yang mengecil dan pemulihan permintaan pasaran yang perlahan. Ia berfungsi sebagai penyokong utama kepada keuntungan industri dalam tempoh mencabar,” kata penganalisis.

 

Kesimpulannya walaupun berdepan cabaran jangka pendek, sektor insurans Malaysia masih menawarkan nilai menarik buat pelabur, terutamanya melalui dividen stabil dan potensi pertumbuhan pendapatan pelaburan. 

 

"Pendekatan strategik syarikat utama seperti ALLZ dan STMB memperkukuh lagi keyakinan terhadap sektor ini menjelang 2026," katanya. - DagangNews.com