KUALA LUMPUR 5 Nov – Sejamas World Sdn Bhd melancarkan Bateri Madani, jenama bateri kereta bebas penyelenggaraan berkualiti premium yang ditawarkan pada harga paling mampu milik di pasaran.
Penyedia rumusan automotif milik Bumiputera itu berkata, ia menandakan satu langkah penting dalam memperluaskan akses automotif mampu milik untuk rakyat, khususnya kalangan golongan B40 dan M40.
Menurutnya, Bateri Madani dibangunkan dengan kerjasama pengeluar global dan direka bagi menawarkan kebolehpercayaan, kemampuan serta aksesibiliti kepada semua pemandu di Malaysia.
"Harga produk ini ditawarkan bermula RM130 termasuk pemasangan profesional, dan diagnostik, sekali gus sehingga 50% lebih rendah berbanding harga pasaran biasa," katanya dalam satu kenyataan.
Acara pelancaran Bateri Madani itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Karnival Mega 3 Damansara, di ibu negara hari ini.
Mengulas lanjut, setiap unit turut disertakan jaminan setahun atau 20,000 kilometer untuk kenderaan persendirian dan boleh diperoleh melalui rangkaian cawangan Sejamas atau pengedar sah.
Jurucakap Sejamas World, Alfred Kenneth Jingulam Jr dalam kenyataannya berkata, pelancaran Bateri Madani mencerminkan komitmen syarikat memastikan akses kepada produk automotif berkualiti tinggi tidak terbatas kepada golongan tertentu semata-mata.
“Misi kami dengan Bateri Madani adalah untuk memastikan bateri automotif berkualiti tinggi tersedia dan mampu dimiliki oleh setiap pemandu Malaysia,” katanya.
“Pengangkutan persendirian amat penting kepada rakyat dengan terdapat lebih 38.7 juta kenderaan di jalan raya negara ini. Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, kami berbesar hati menawarkan produk yang benar-benar membantu mengurangkan beban tersebut.
Ini bukan sekadar produk komersial, tetapi satu inovasi berteraskan sosial dengan satu pergerakan nasional untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui penyelesaian automotif yang praktikal dan mampu milik,” katanya lagi.
Sokongan Perdana Menteri terhadap pelancaran ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan sektor swasta dalam memperkukuh ekosistem “Gerak Madani”, yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Menurut Sejamas World, inisiatif ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat, memperluaskan peluang ekonomi kepada golongan B40 dan M40 serta menyokong daya tahan ekonomi negara melalui produk tempatan yang mampan.
Inisiatif Bateri Madani juga mencerminkan visi Sejamas World untuk mengintegrasikan kemudahan automotif dengan tujuan sosial, menyatukan pertumbuhan perniagaan dengan kesejahteraan masyarakat.
Langkah ini turut menyokong usaha kerajaan ke arah ekonomi hijau dan lestari, dengan bateri yang dihasilkan menggunakan teknologi mesra alam serta boleh dikitar semula sepenuhnya.
Untuk pembelian Bateri Madani, orang ramai boleh melayari https://sejamas.com/booking, menghubungi talian bebas tol 1-800-820-002 atau berhubung terus dengan khidmat pelanggan di +6012-686 8945. - DagangNews.com








