SCIB fail rayuan keputusan Mahkamah Tinggi tolak tuntutan RM14 juta terhadap Dynamic Prestige | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SCIB fail rayuan keputusan Mahkamah Tinggi tolak tuntutan RM14 juta terhadap Dynamic Prestige

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt – Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB)  memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan syarikat itu bernilai RM14 juta terhadap Dynamic Prestige Consultancy Sdn Bhd berhubung bayaran yang dibuat bagi cadangan usaha sama dalam sektor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat kejuruteraan awam dan pengeluar konkrit pratuang itu berkata, Mahkamah Tinggi pada 10 Oktober lalu menolak tuntutan SCIB terhadap Dynamic Prestige dengan kos sebanyak RM35,000.

 

Penolakan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa bukti dokumen yang dikemukakan tidak mencukupi untuk menyokong tuntutan syarikat pada peringkat tersebut.

 

“Namun, selepas meneliti salinan termeterai penghakiman yang diterima daripada Mahkamah Tinggi pada 27 Oktober 2025 (Isnin) dan selepas berbincang dengan peguam syarikat, SCIB telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada tarikh yang sama,” kata syarikat itu.

 

SCIB menegaskan pihaknya kekal yakin terhadap kekuatan tuntutan itu bagi mendapatkan semula bayaran yang dibuat kepada Dynamic Prestige.

 

Tindakan undang-undang itu berpunca daripada bayaran berjumlah RM14 juta yang dibuat oleh SCIB kepada Dynamic Prestige antara Oktober dan November 2022.

 

Transaksi itu adalah bagi tujuan meneroka peluang perniagaan dalam sektor EPCC.

 

Menurut pemfailan terdahulu SCIB kepada Bursa Malaysia pada Julai 2023, Dynamic Prestige pada asalnya dicadangkan untuk menawarkan saham keutamaan khas (redeemable convertible preference shares - RCPS) kepada SCIB sebagai sebahagian daripada pelan kerjasama perniagaan.

 

Malah, melalui surat bertarikh 7 Mac 2023, kedua-dua pihak bersetuju bahawa jika pelan tersebut tidak diteruskan, Dynamic Prestige akan memulangkan semula bayaran yang telah dibuat oleh SCIB.

 

SCIB mendakwa, walaupun telah memutuskan untuk menghentikan perjanjian tersebut, Dynamic Prestige gagal memulangkan wang berkenaan, mendorong syarikat itu untuk memfailkan writ saman terhadapnya. - DagangNews.com