SC semak semula Kod Tadbir Urus Korporat di bawah Penilaian Semula Pelan Induk Pasaran Modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC semak semula Kod Tadbir Urus Korporat di bawah Penilaian Semula Pelan Induk Pasaran Modal

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 24 Julai – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menyemak semula Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) tahun ini sebagai sebahagian daripada penilaian semula yang lebih menyeluruh di bawah pelan induk pasaran modal.

 

Kajian semula yang dijalankan kira-kira setiap lima tahun ini bertujuan memperkukuh amalan tadbir urus korporat dan menggalakkan pembiayaan mampan dalam pasaran modal negara.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pihaknya akan melibatkan pemegang kepentingan melalui sesi perundingan yang disasarkan pada penghujung tahun ini bagi menilai tahap semasa tadbir urus korporat dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.

 

“Pendekatan secara perundingan ini memastikan sebarang pindaan terhadap kod berkenaan kekal relevan dan memberi impak yang berkesan,” katanya sambil memberi isyarat bahawa SC akan mengambil pendekatan yang lebih tegas terhadap pematuhan selepas ini.

 

“Namun begitu, saya bersedia menjadikan beberapa aspek penting dalam MCCG yang akan datang sebagai mandatori sekiranya kita percaya ia dapat membantu syarikat memperlihatkan tadbir urus yang lebih baik dan menghasilkan prestasi yang lebih cemerlang.”

 

Menurut beliau, MCCG 2026 akan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti dan keberkesanan lembaga pengarah serta memperkukuh peranan lembaga dalam mendorong penciptaan nilai jangka panjang.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Persidangan Tadbir Urus Korporat ASEAN 2025 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

 

 

Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG)

 

 

Tambah beliau, Malaysia bukan satu-satunya negara yang sedang melaksanakan usaha ini, memandangkan beberapa negara jiran di ASEAN juga sedang menjalankan semakan semula kod masing-masing.

 

“Saya difahamkan rakan sejawat saya dari negara-negara ASEAN, termasuk Singapura, turut memulakan proses semakan semula tahun ini. Ini menunjukkan kesedaran bersama bahawa rangka kerja peraturan perlu terus berkembang untuk menangani cabaran baharu.”

 

Walaupun penyesuaian dengan piawaian global kekal penting, Mohammad Faiz menegaskan tiada satu model tadbir urus yang seragam bagi semua negara.

 

“Keberkesanan prinsip bergantung kepada kesesuaian tempatan. Ini memastikan prinsip yang diguna pakai adalah berkesan, praktikal dan bersifat transformatif. Setiap negara ASEAN adalah unik dan kod masing-masing mesti disesuaikan dengan konteks, kematangan pasaran dan keutamaan strategik negara.”

 

Untuk rekod, MCCG mula diperkenalkan pada tahun 2000 dan sejak itu telah menjadi alat penting dalam reformasi tadbir urus korporat serta memberikan impak positif terhadap amalan tadbir urus syarikat di Malaysia.

 

Versi semasa ialah MCCG 2021 yang buat kali pertama memasukkan amalan terbaik berkaitan kepelbagaian lembaga dan ESG. Iterasi seterusnya dijangka diterbitkan pada tahun 2026. - DagangNews.com