KUALA LUMPUR 19 Sept – Anak syarikat SC Estate Builder Bhd, SC Estate Energy Sdn Bhd (SCEE) menubuhkan usaha sama (JV) dengan Vanguard North Sdn Bhd bagi melaksanakan projek pembangunan hartanah di Kubang Pasu, Kedah.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata usaha sama tersebut merangkumi pembangunan dua lot tanah bangunan serta dua lot tanah pembangunan dengan keluasan keseluruhan 248,468 meter persegi.
Di bawah perjanjian itu, SCEE akan membangunkan tanah berkenaan menjadi projek bercampur yang terdiri daripada lot terbahagi, unit kediaman dan komersial, serta struktur lain, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Setelah siap, SCEE boleh menyewakan unit-unit tersebut bagi lima tempoh berturut-turut selama 30 tahun setiap satu, atau menjualnya terus kepada pembeli akhir,” katanya.
Pembangunan berkenaan dijadualkan bermula pada suku kedua 2026 dan disasarkan siap pada suku kedua 2030.
SC Estate berkata usaha sama itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta pendapatan sesaham masa depan, selain meningkatkan aset bersih terkumpul syarikat.
Minggu lalu, SC Estate Builder mengumumkan syarikat itu sedang memohon kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan perniagaannya ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), susulan penyertaannya dalam usaha sama membangunkan loji solar berskala besar (LSS) berkapasiti 4MW di Arau, Perlis.
Projek solar itu dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersih kumpulan atau mengakibatkan pengalihan lebih 25% aset bersihnya setelah dilaksanakan.- DagangNews.com








