SC, Bursa Malaysia cadang buka Pasaran LEAP kepada pelabur runcit bermula dengan had RM250,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC, Bursa Malaysia cadang buka Pasaran LEAP kepada pelabur runcit bermula dengan had RM250,000

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia mencadangkan had pelaburan maksimum RM250,000 bagi pelabur runcit yang mahu menyertai Pasaran LEAP menerusi cadangan penambahbaikan LEAP Market 2.0 yang diumumkan.

 

Di bawah cadangan itu, pelabur runcit akan dibenarkan berdagang dalam Pasaran LEAP buat pertama kali sejak platform itu diperkenalkan pada 2017, namun tertakluk kepada beberapa had pelaburan bagi mengawal risiko.

 

Cadangan tersebut menetapkan had maksimum RM100,000 bagi setiap penerbit dalam pasaran utama dan RM100,000 bagi setiap broker dalam pasaran sekunder dengan jumlah keseluruhan pelaburan LEAP tidak melebihi RM250,000 pada satu-satu masa.

 

Pasaran LEAP sebelum ini hanya dibuka kepada pelabur sofistikated seperti institusi kewangan, individu bernilai bersih tinggi dan pelabur profesional berikutan profil risiko syarikat yang kebanyakannya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat awal.

 

SC dan Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan cadangan itu bertujuan memperluaskan akses pasaran modal kepada pelabur runcit dan pada masa yang sama mengekalkan tahap perlindungan pelabur yang bersesuaian.

 

“Selain membuka penyertaan kepada pelabur runcit, LEAP Market 2.0 turut mencadangkan laluan alternatif bagi syarikat yang dibiayai menerusi equity crowdfunding (ECF) dan syarikat yang disokong modal teroka (VC) atau ekuiti persendirian (PE) untuk disenaraikan di Pasaran LEAP.

 

“Menerusi cadangan itu, penerbit ECF yang layak dan mempunyai rekod kutipan dana yang baik boleh memasuki Pasaran LEAP tanpa perlu melantik penasihat yang diluluskan seperti syarat sedia ada.

 

“Sebaliknya, operator ECF atau firma PE dibenarkan bertindak sebagai ejen penyenaraian bagi memudahkan proses peralihan syarikat ke Pasaran LEAP,” menurut kenyataan itu.

 

Cadangan lain termasuk memudahkan perpindahan syarikat daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE dengan menghapuskan keperluan penyahsenaraian mandatori serta tawaran keluar bagi syarikat yang telah berada di Pasaran LEAP sekurang-kurangnya dua tahun.

 

SC dan Bursa Malaysia turut mencadangkan format dokumen pendedahan alternatif yang lebih ringkas bagi meningkatkan kejelasan maklumat serta menyeragamkan proses penyerahan dokumen.

 

Selain itu, penasihat juga dicadang dibenarkan menerima sehingga 50 peratus yuran nasihat dalam bentuk saham biasa syarikat pemohon, tertakluk kepada pegangan maksimum dua peratus bagi setiap penasihat dan had agregat lima peratus untuk semua penasihat.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, cadangan tersebut direka bagi mengukuhkan ekosistem pembiayaan syarikat serta menambah baik akses kepada modal pertumbuhan menerusi persekitaran kawal selia yang lebih memudah cara.

 

“Inisiatif ini merupakan langkah utama dalam membina pasaran modal yang lebih inklusif bagi PMKS dan MTC di bawah CMP. Ia memperkukuh mekanisme peningkatan pendanaan secara berperingkat, mengurangkan kos, sambil meningkatkan akses kepada modal pertumbuhan melalui persekitaran kawal selia yang lebih memudahkan.

 

“Setakat ini, satu penerbit ECF telah beralih ke Pasaran LEAP, manakala 10 syarikat tersenarai di Pasaran LEAP telah beranjak ke Pasaran ACE, mencerminkan potensi pembentukan saluran syarikat yang lebih kukuh dan mampan dalam meneruskan perkembangan melalui pasaran modal,” katanya.

 


Malaysia mempunyai kira-kira 8,500 syarikat pertengahan (MTC) yang berpotensi mendapatkan pembiayaan melalui pasaran modal, manakala penambahbaikan berkenaan akan mewujudkan laluan penyenaraian yang lebih jelas dan lancar bagi PKS dan perusahaan mikro.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed pula berkata, penambahbaikan tersebut akan memperkenalkan lebih fleksibiliti dalam laluan kemasukan syarikat serta memperluaskan penyertaan pelabur sambil memperkukuh kedalaman dan ketelusan pasaran.

 

Kertas konsultasi awam berhubung cadangan pindaan itu telah diterbitkan dan maklum balas awam dibuka sehingga 15 Jun 2026. - DagangNews.com