KUALA LUMPUR 23 Okt – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan acara tahunan InvestSmart Fest 2025 (ISF 2025) dari 24 hingga 26 Oktober ini di Pusat Konvensyen Mid Valley bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan dan perlindungan pelabur.
Bertemakan ‘Bijak Labur Hidup Makmur’, penganjuran edisi ke-12 itu sejajar dengan pelaksanaan Bulan Celik Kewangan anjuran Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN).
Acara itu juga diadakan susulan pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NSFL 2026-2030) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
NSFL 2026-2030 bertujuan melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran mengurus kewangan secara bijak, melindungi daripada kejutan kewangan dan memupuk kestabilan jangka panjang.
Ia turut menekankan kemampuan membuat keputusan kewangan serta meningkatkan keyakinan dalam mengakses produk dan perkhidmatan kewangan.
ISF 2025 diselaraskan dengan keutamaan strategik NSFL 2026-2030, khususnya dalam menggalakkan pelaburan berhemah bagi mengumpul kekayaan.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, isu penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen terus menjadi kebimbangan utama pihaknya.
Beliau berkata, pada tahun 2024, SC menerima 3,602 aduan dan pertanyaan awam mengenai penipuan pelaburan, meningkat 100% berbanding tahun 2020.
“Bagi tempoh enam bulan pertama 2025, sebanyak 2,039 aduan diterima, menunjukkan peningkatan sekitar 51% berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Memandangkan penipuan semakin canggih didorong oleh teknologi, rakyat Malaysia perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk kekal berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini, SC dan agensi penguatkuasaan lain sedang memperkukuh keupayaan pengesanan serta tindakan penguatkuasaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, masyarakat juga perlu memainkan peranan aktif dengan memastikan kesahihan pelaburan sebelum membuat sebarang komitmen.
“Inisiatif seperti InvestSmart Fest membantu mendidik orang ramai mengenal pasti tanda amaran atau ‘red flag’ penipuan pelaburan melalui ceramah, sesi interaktif dan perkongsian tentang taktik penipuan yang sering digunakan.
“Pengunjung turut berpeluang mempelajari kaedah mengesahkan kesahihan peluang pelaburan melalui portal Investment Checker di laman web SC,” katanya.
SC kini menjadi ahli Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) yang menghimpunkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan kawal selia bagi memperkukuh mekanisme tindak balas terhadap penipuan kewangan.
Melalui NSRC, SC memainkan peranan penting dalam menangani penipuan yang melibatkan pasaran modal.
ISF 2025 terbuka kepada orang ramai dengan lebih 45 pempamer produk dan perkhidmatan pasaran modal mengambil bahagian.
Acara ini turut menampilkan sesi panel, ceramah dan pameran interaktif.
Selain itu, pengunjung boleh mendaftar untuk mendapatkan khidmat nasihat perancangan kewangan percuma di bawah inisiatif #FinPlan4u dengan lebih 500 sesi ditawarkan.
Zon anti-scam pula akan memaparkan kempen #JanganKenaScam dan inisiatif NSRC sebagai pusat maklumat bagi mendidik orang ramai tentang taktik penipuan terkini serta langkah perlindungan diri.
Masuk adalah percuma bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari penganjurannya. - DagangNews.com








